
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Facebook MBAS
ALOR SETAR, 17 Ogos (MalaysiaAktif) – Seramai 1,600 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Alor Setar Merdeka Half Marathon (ASMHM) 2025 yang berlangsung di perkarangan Balai Seni Negeri Kedah, kelmarin.

Turut serta Tunku Mahkota Kedah.
Acara tahunan yang kini memasuki edisi keempat itu mendapat sambutan luar biasa dengan penglibatan peserta daripada kalangan profesional, amatur, keluarga serta kanak-kanak, sekali gus membuktikan sukan larian semakin digemari masyarakat.
ASMHM 2025 turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff yang berkenan menyertai kategori 5 kilometer Fun Run serta menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada para pemenang.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu 21KM (Half Marathon), 10KM, 5KM (Fun Run), 2.5KM (Family Run) dan 1KM (Kid Dash) yang memberi peluang penyertaan menyeluruh merangkumi semua peringkat umur.

Datuk Bandar Alor Setar dan juga Tunku Puan Mahkota juga turut serta dalam acara ini.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya, berkata penganjuran ASMHM bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat malah menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum bersempena sambutan bulan kemerdekaan.
“Acara sebegini berjaya menghimpunkan ribuan peserta daripada pelbagai latar belakang. Ia membuktikan bahawa sukan mampu menjadi jambatan perpaduan, selain mengukuhkan identiti masyarakat Alor Setar sebagai warga yang aktif dan progresif,” katanya.
Tambahnya, kejayaan ASMHM 2025 turut memberi impak positif terhadap kempen ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’ dan Tahun Melawat Kedah 2025 melalui promosi pelancongan sukan yang berupaya menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
-RI





