
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 13 Ogos (MalaysiaAktif) – Golongan anak muda di daerah ini turut bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 dengan penuh semangat patriotisme.
Che Muhammad Adam Che Muhammad Sabry, 19, yang merupakan Ketua Pelajar dari Kolej Komuniti Paya Besar, berkata beliau amat teruja dengan sambutan bulan kebangsaan lebih-lebih lagi apabila mengetahui kolejnya menjadi salah satu lokasi persinggahan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Negeri Pahang.

Che Muhammad Adam bergambar kenangan dengan motorsikal konvoi KMJG.
“Saya turut terlibat dengan persiapan tempat bagi menyambut ketibaan konvoi ini dan turut mengajak rakan-rakan untuk membantu,” katanya yang baru pertama kali berpeluang terlibat secara langsung dalam program itu kepada MalaysiaAktif, hari ini.
Pelajar jurusan Sijil Teknologi Elektrik itu memberitahu sebelum ini beliau pernah menyaksikan konvoi KMJG di kampungnya di Pasir Mas, Kelantan.
Bagi Danish Hafizuddin, 18, pula beliau turut merasa gembira kerana dapat melihat konvoi motosikal berkuasa tinggi itu di depan mata.
“Saya amat meminati motosikal berkuasa besar ini dan apabila pasukan konvoi sudi singgah di kolej saya amatlah berbesar hati menyambut ketibaan mereka.

Danish Hafizuddin mengibar Jalur Gemilang diperhatikan oleh rakan-rakannya.
“Program seumpama ini sangat bagus kerana dapat meningkatkan semangat patriotik di kalangan pelajar dan anak muda,” katanya.
KMJG 2025 peringkat Negeri Pahang memulakan misi bermula semalam di Kuantan dan bakal berakhir di Bentong, esok.
Konvoi yang membawa Jalur Gemilang memasuki Pahang melalui Jabor dan misi seterusnya ke Kolej Komuniti Paya Besar untuk acara sambutan Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Daerah Kuantan.
Majlis peluncuran disempurnakan Wakil Ahli Parlimen Paya Besar Mustakim Zakaria selain turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Pahang merangkap Ketua Konvoi Rohani Chik serta Pengarah Kolej Komuniti Paya Besar Shuhaila Ibrahim.
-RI





