
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Siapa sangka, durian belanda yang sering dikaitkan dengan pemakanan tradisional kini muncul sebagai asas kepada rangkaian produk penjagaan diri dengan jenama VIVIFY berasaskan sains moden hasil inovasi penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Produk hasil kajian Prof. Fr. Md Shafiquzzaman Siddiquee dari Institiut Penyelidikan Bioteknologi UMS itu dibangunkan sejak 2016 sebelum diperkenalkan ke pasaran secara komersial pada 2018.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Zuraidah Jamrin, projek berkenaan mendapat sokongan awal daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan terus berkembang terutama semasa pandemik apabila keberkesanannya dalam aspek kebersihan mula mendapat perhatian.

Zuraidah (kiri) bersama penyelidik utama produk VIVIFY, Prof. Fr. Md Shafiquzzaman Siddiquee dari Biotechnology Research Institute, Universiti Malaysia Sabah.
“Penghasilan VIVIFY berasaskan pengetahuan tradisional tentang khasiat durian belanda, yang disaintifikkan dan diuji untuk kegunaan masyarakat secara lebih selamat dan berkesan. Kami tidak mendakwa ia menyembuhkan sepenuhnya, tetapi ia membantu dan selamat digunakan. Produk ini juga sesuai untuk mereka yang menghadapi masalah kulit dan kebersihan diri.
“Produk asal dalam bentuk sabun kemudiannya dikembangkan kepada cecair, termasuk pencuci muka, mandian, syampu dan teh durian belanda. Kami olah semula pengetahuan tradisional ini secara saintifik supaya penggunaannya lebih tepat dan selamat.
“Durian belanda telah lama digunakan secara tradisional untuk membantu dalam rawatan sokongan kanser, namun VIVIFY membawanya ke tahap baharu dengan formulasi yang lebih moden dan teruji secara klinikal,” katanya ketika ditemui di Pameran HPPNK 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.

Antara produk penjagaan diri berasaskan durian belanda jenama VIVIFY yang dipamerkan kepada pengunjung HPPNK 2025.
Tambahnya, VIVIFY menawarkan dua rangkaian iaitu asas dan premium yang menggabungkan herba tempatan termasuk propolis dan telah menjalani ujian klinikal di Amerika Utara, sekali gus diiktiraf sebagai produk nutrasetikal.
“Kami menggunakan teknologi terbaik hasil kepakaran saintifik tempatan. Malah, penyelidik utama kami tersenarai dalam kalangan 2 peratus saintis terbaik dunia selama empat tahun berturut-turut,” katanya.
-RJ-





