
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar
BACHOK, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Pantai Irama Bachok bergema dengan semangat kebangsaan apabila hampir 500 peserta daripada Komuniti MADANI Badak dan Kandis menyertai Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, menjadikan persisiran pantai sebagai gelanggang perpaduan rakyat.
Program yang diserikan dengan perarakan pantai bersarong, persembahan silat, aktiviti menarik pukat, melukis mural atas pasir, bola tampar pantai, tarik tali, mencari telur dalam pasir, teka lagu patriotik, persembahan puisi serta gotong-royong, berjaya menyemarakkan rasa cinta tanah air dalam suasana santai dan penuh kebersamaan.

Lukisan mural HKHM 2025 oleh pelajar Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok.
Ketua Komuniti MADANI Badak Zakiah Mohd Noor dan Ketua Komuniti MADANI Kandis Nik Mohamad Jafri Jaafar sepakat menekankan bahawa program ini bukan sahaja simbol perpaduan rakyat, malah membawa mesej tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
“Bila kita berkumpul di sini, bukan sekadar menjadi gelanggang semangat patriotisme di bawah tema ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’ tetapi pantai adalah khazanah kita bersama.
“Menyemai nilai patriotisme di sini memberi makna luas, cinta negara, cinta komuniti dan cinta alam sekitar,” ujarnya.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor, menegaskan bahawa program ini bukan sekadar sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, tetapi juga bertujuan memperkukuh silaturahim komuniti serta menjadi saluran penyampaian maklumat isu semasa secara berkesan.

Gimik Perasmian memukat ikan yang disempurnakan oleh Muhd Nor Aswadi mengimbau kembali nostalgia lalu.
“Apabila masyarakat berkumpul di pantai dengan semangat kebangsaan, kita bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi turut mengibarkan semangat perpaduan yang menjadi asas kesejahteraan negara,” katanya dalam ucapan perasmian.
Program turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu patriotik, persembahan seni budaya setempat serta agihan Jalur Gemilang di bawah inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang melambangkan kesepaduan rakyat daripada pelbagai peringkat umur.
Turut hadir Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Kelantan, Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab, Pengerusi Persatuan Peduli Kelantan Ahmad Nazri Mohd Zain, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Nor Azmiza Mamat dan wakil rakan strategik Akademi Memandu Kist Sdn. Bhd. (AMKIST) Bachok.
-RI





