
Laporan/foto: M. Sures Maniam (Kota Setar)
ALOR SETAR, 23 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI Simpang Kuala berjaya menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2025 melalui inisiatif pemasangan Jalur Gemilang melibatkan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Teh Swee Leong menyeru warga Simpang Kuala mengibarkan 1 Rumah 1 Jalur Gemilang di setiap rumah dan premis perniagaan sebagai tanda kebersamaan menyemarakkan semangat kemerdekaan.
Kira-kira 400 pengunjung hadir memeriahkan program yang berlangsung di Pasar Pekan Simpang Kuala, di sini pagi semalam.
Program itu turut memberi ruang kepada wakil rakyat mendekati masyarakat setempat serta mendengar pandangan mereka.
“Saya berharap ramai orang dapat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis masing-masing sebagai tanda kecintaan kepada negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI menerusi kempen 1 Rumah, 1 Jalur Gemilang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman Teh Swee Leong.

Jalur Gemilang diagihkan kepada pengunjung Pasar Simpang Kuala sebagai simbol kebanggaan dan kesatuan rakyat.
Beliau turut mengedarkan Jalur Gemilang secara percuma kepada pengunjung sebagai usaha menggalakkan penyertaan masyarakat dalam menyebarkan lambang kedaulatan negara itu.
Pada program sama, Yayasan Sultanah Bahiyah turut mengadakan Unit Derma Darah Bergerak, sekali gus memperkaya pengisian acara.
Penganjuran program berkenaan diyakini dapat memupuk semangat patriotisme, menyuburkan keharmonian serta memperkukuh perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
-RI





