
Laporan/foto: Mohd Sukri Ismail
TUMPAT, 23 Ogos (MalaysiaAktif) – Semangat cintakan negara perlu diasuh sejak dari kecil agar generasi baharu tidak melupakan pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu, kata Ketua Komuniti MADANI Kampung Talak Jusoh Seman.

Cikgu Soh (tiga dari kiri) bersama guru Tadika KEMAS Kampung Talak.
“Usaha mendidik kanak-kanak menghargai kemerdekaan adalah penting supaya semangat patriotik kekal mekar sepanjang hayat,” katanya kepada MalaysiaAktif, kelmarin.
Terdahulu, Komuniti MADANI Talak dengan kerjasama Tadika KEMAS Kampung Talak telah menganjurkan sambutan Bulan Kebangsaan 2025 dengan pelbagai acara menarik, kelmarin.
Antaranya termasuk pemasangan Jalur Gemilang di sekitar kampung, pelepasan belon ke udara, serta perarakan kanak-kanak tadika berpakaian tentera menaiki choley mengelilingi kampung.

Simbolik melepaskan belon sebagai tanda negara bebas dijajah.
Menurut guru Tadika KEMAS Kampung Talak, Cikgu Soh, sambutan kemerdekaan diadakan setiap tahun dengan sokongan ibu bapa dan penduduk kampung yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli bendera bagi menghiasi rumah serta laluan utama kampung.
Majlis berkenaan turut menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lepas di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.
-RI





