
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 19 Ogos (MalaysiaAktif) – Kerajaan Johor dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menubuhkan Jawatankuasa Khas Bekalan Air Johor pada 31 Julai lalu bagi memantau projek-projek sumber air mentah dan loji rawatan air di negeri berkenaan.

Tiga Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bernilai lebih RM1.6 bilion diluluskan di Sungai Johor, Sungai Pontian dan Sungai Sedili, manakala tiga Loji Rawatan Air (LRA) baharu turut akan dibina bagi menampung keperluan rakyat dan industri – Mohamad Fazli.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
“Tiga Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bernilai lebih RM1.6 bilion diluluskan di Sungai Johor, Sungai Pontian dan Sungai Sedili, manakala tiga Loji Rawatan Air (LRA) baharu turut akan dibina bagi menampung keperluan rakyat dan industri.
“Johor juga satu-satunya negeri dengan dua lapisan jawatankuasa kelulusan pusat data, iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Induk, bagi memastikan pembangunan ekonomi tidak menjejaskan kelestarian bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohamad Fazli berkata kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di Johor juga berjaya diturunkan kepada 24.1 peratus setakat Julai lalu, terendah di Malaysia hasil kerjasama dengan pakar antarabangsa.
“Kerajaan negeri komited memastikan bekalan air kekal stabil, mencukupi dan mampan untuk rakyat serta mampu menyokong pertumbuhan pesat industri baharu termasuk pusat data serantau,” tegasnya.
-RI






