
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar
BACHOK, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Lima anak muda dari Komuniti MADANI Pantai Irama mencipta sejarah apabila muncul juara dalam Pertandingan E-Sukan Mobile Legend anjuran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Melawi.

Persaingan yang sengit diberikan dengan semangat membawa nama Komuniti MADANI.
Kejayaan itu bukan sahaja menandakan penyertaan sulung Komuniti MADANI dalam arena e-sukan, malah membuka ruang baharu untuk mencungkil bakat belia melalui platform digital.
Pengurus NADI Melawi Mohd Zailani M. Arifin berkata penyertaan tersebut membuktikan anak muda di peringkat komuniti memiliki potensi besar untuk diketengahkan.
“Walaupun kali pertama bertanding, pencapaian sebagai juara amat membanggakan. Pertandingan ini bukan sekadar hiburan, malah mampu menjadi ruang menjana pendapatan, mengasah strategi serta memupuk kerjasama pasukan,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Kanak-kanak turut menyertai pertandingan.
Katanya pertandingan itu bertujuan mencari wakil terbaik untuk mewakili NADI Melawi ke peringkat NADI Daerah Bachok tidak lama lagi sementara bagi peserta ia memberi nilai tambah dalam aspek disiplin, komunikasi dan semangat berpasukan.
Kejayaan itu bukan sahaja menyemarakkan semangat kekitaan, malah membuktikan e-sukan mampu menjadi medium penyatuan komuniti serta inspirasi kepada generasi muda.
Komuniti MADANI Pantai Irama yang dipadankan dengan NADI Melawi sejak dua tahun lalu kini semakin aktif dalam pembangunan belia.
-RI





