
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Maherah Marina Mahusin (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Lebih 1,000 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas, di sini bersama komuniti setempat berganding bahu menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025, semalam.

Tun Rabiatul, berkata sambutan itu menyemarakkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda.
Program berkenaan diserikan dengan gimik perasmian apabila Pengetua, Rusmawati @ Siti Fatimah Mohamed, melancarkan letusan asap berwarna-warni yang membentuk rona Jalur Gemilang di langit, sekali gus menandakan bermulanya perayaan penuh bermakna itu.
“Kami tidak hanya mengibar bendera, tetapi mengangkat semangat sebuah bangsa,” katanya sambil melahirkan rasa bangga melihat keceriaan terpancar pada wajah para pelajar dan warga sekolah.
Antara acara yang mencuri tumpuan ialah persembahan bicara berirama, koir patriotik dan deklamasi sajak yang berjaya menggugah jiwa, menyemai rasa cinta tanah air serta menyedarkan hadirin tentang erti sebenar kemerdekaan.
Tun Rabiatul Adawiah Tun Mohd Azari, 16, berkata pengalaman menyertai sambutan itu cukup bermakna.
“Ini bukan sekadar sambutan biasa. Saya rasa sangat terharu dapat mengibarkan Jalur Gemilang bersama rakan-rakan. Ia momen yang akan saya kenang sepanjang hayat,” katanya.

Muhammad Faris, menyifatkan program berkenaan memberi peluang pelajar mendekati erti sebenar kemerdekaan.
Muhammad Faris Mohd Shukri Suhaimi, 15, mengingatkan generasi muda tentang tanggungjawab mempertahankan kemerdekaan.
“Kita perlu teruskan legasi perjuangan. Jangan biar semangat ini pudar begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku, Marina Abdul Rahman, menegaskan bahawa program itu bukan sahaja meriah dari segi pengisian, malah sarat dengan pendidikan nilai.
“Ini lebih daripada sekadar sambutan. Di sinilah benih patriotisme, perpaduan dan tanggungjawab sebagai warganegara ditanam dalam diri pelajar,” katanya.
Sambutan di SMKA Dato’ Haji Abbas membuktikan penghayatan kemerdekaan bukan sekadar kibaran bendera, tetapi manifestasi kasih sayang, pengorbanan dan tekad generasi muda mempertahankan kedaulatan negara
-RI





