Skip to main content
Berita TempatanSabah

Parang Bajau Warisan Seni Bukan Sekadar Senjata

By 11 Ogos 2025Ogos 13th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim (Tuaran)

TUARAN, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Parang Bajau bukan sekadar senjata, tetapi lambang identiti dan seni budaya masyarakat Bajau khasnya di daerah Kota Belud.

Antara ukiran parang dan sarung yang dihasilkan.

Setiap bilah parang dan sarungnya dihasilkan dengan penuh teliti, memerlukan kemahiran tangan serta kreativiti demi mengekalkan keaslian tradisionalnya yang unik.

Bagi pengusaha Parang Bajau, Mohd Safuan Sakmad, 36, penghasilan parang disertakan dengan pelbagai motif ukiran, termasuk flora dan fauna yang melambangkan keindahan alam serta budaya masyarakat setempat.

Safuan menunjukkan antara koleksi parang hasil tangan beliau.

“Dalam penghasilan parang, saya menggunakan pelbagai jenis kayu seperti kemuning, akasia dan beberapa lagi pilihan berkualiti tinggi.

“Kayu tersebut diperoleh sama ada daripada pembekal mahupun hasil pencarian sendiri di hutan. Pemilihan kayu yang tepat amat penting bagi memastikan ketahanan dan keindahan hasil pertukangan,” katanya ketika ditemui semasa Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama di Kampung Lok Batik, di sini pada Sabtu.

Menurut Safuan, parang buatannya bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat tempatan, malah kini hasil tangannya itu turut diminati pelancong luar negara yang menghargai nilai seni dan kraf tradisional daripada Sabah.

Antara koleksi parang dengan sarung yang indah dengan seni halus ukiran yang dipamerkan di festival di sini, kelmarin.

“Setiap parang yang dihasilkan bukan sekadar senjata tradisional, tetapi karya seni yang membawa identiti budaya Bajau Kota Belud ke mata dunia. Usaha ini sekali gus memastikan warisan nenek moyang terus hidup dan dihargai generasi akan datang,” ujarnya.

Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 berlangsung dari 7 hingga semalam di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, Tuaran.

-RJ-

Tinggalkan komen anda