
Laporan/ foto : Iswandi Kassim
SRI AMAN, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Bahagian Sri Aman sekali lagi membuktikan peranan penting mereka apabila menjadi antara tulang belakang operasi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak susulan kebakaran awal pagi 29 Julai lalu yang memusnahkan empat rumah sepenuhnya dan merosakkan dua lagi sehingga hampir 80 peratus, melibatkan 18 mangsa daripada enam keluarga di sini.
SATRIA Bahagian Sri Aman sering bergiat aktif terlibat dengan usaha bantuan kemanusiaan melalui usaha pengumpulan barangan sumbangan ketika terjadinya beberapa musibah sebelum ini dan kini mereka turut memberikan bantuan kepada mangsa yang terjejas berikutan insiden kebakaran tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (enam kanan, baris tengah) turut hadir di PPS.
Bermodalkan semangat sukarela tanpa mengira penat lelah, 35 ahli SATRIA daripada pelbagai kaum dan peringkat umur bertugas sepanjang masa di PPS menerima, merekod dan mengagihkan bantuan kepada mangsa termasuk memastikan keselamatan serta kebajikan penghuni sentiasa terjaga.
Pengerusi SATRIA Sri Aman Azrul Hafidz Ahmad berkata pasukan itu berpegang pada objektif utama membantu memudahkan urusan pihak yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama, khususnya ketika kecemasan seperti kebakaran dan banjir.
“Kami menerima, merekod dan mengagihkan setiap bantuan secara telus mengikut jumlah mangsa dan barangan supaya tiada pihak yang terlepas daripada mendapat hak mereka.
”Menjadi sukarelawan pula memberi peluang kepada kami untuk berbakti kepada masyarakat tanpa mengharapkan balasan malah memupuk rasa kebersamaan dan mengeratkan hubungan antara penduduk pelbagai latar belakang,” katanya ketika ditemui semalam.

Azrul (kiri) bersama sukarelawan SATRIA menyantuni mangsa kebakaran di PPS.
Komitmen sukarelawan SATRIA yang sentiasa bersedia siang dan malam tanpa mengira cuaca atau masa, membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dan kepedulian sosial di Sri Aman masih utuh.
“SATRIA bukan sahaja membantu dari aspek logistik dan kebajikan mangsa, malah turut memberi sokongan moral yang sangat diperlukan oleh mereka yang berada dalam keadaan tertekan akibat bencana,” ujar Azrul lagi.
Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh menyifatkan peranan yang dimainkan SATRIA sebagai contoh teladan kepada golongan belia di Sri Aman untuk turut serta dalam kerja kebajikan.
“Peranan yang dimainkan SATRIA wajar menjadi contoh kepada belia di Sri Aman yang turut menyumbang dalam kerja-kerja sukarelawan dan kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum membantu masyarakat, cerminan nilai murni dalam konsep MADANI,” jelas Mahra.

Mahra (lapan kanan) dan sukarelawan SATRIA bersama barangan bantuan untuk mangsa yang ditempatkan di PPS.
Tambah beliau, sebelum ini SATRIA turut terlibat membantu mendaftarkan pemohon dan penerima Bantuan Keperluan Asas Sarawak di kaunter setiap daerah di bahagian itu, selain memberi bimbingan penggunaan aplikasi SPay Global membabitkan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan NGO bagi mengumpul sumbangan untuk mangsa banjir di dalam dan luar Sri Aman.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai atau menyalurkan sumbangan kepada SATRIA boleh menghubungi mereka menerusi laman Facebook rasmi SATRIA SRI AMAN
-RJ-





