
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Rosdin Sabni (Kementerian Komunikasi)
PUTRAJAYA, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melahirkan rasa bangga terhadap sambutan, semangat membara dan keterujaan rakyat Malaysia dalam menyambut Hari Kebangsaan ke-68 pada 31 Ogos ini.
“Dalam tempoh enam hari lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan. Ini merupakan antara acara utama bagi Kementerian Komunikasi dan saya lihat di media sosial semakin banyak video tular, khususnya melibatkan para pelajar yang menjadi sebahagian daripada human graphic, yang dikongsi oleh ibu bapa mereka. Saya lihat semangat itu kembali membara.
“Sudah tentu ini menjadi satu kebanggaan buat kita semua, namun saya berharap ia terus dipertingkatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Dewan Serbaguna kementerian berkenaan, di sini pagi tadi.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 menegaskan bahawa persiapan oleh kementerian serta agensi di bawahnya tahun ini dilaksanakan dengan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Perkara ini telah mula diusahakan secara organik dan menjadi bukti bahawa kita harus berasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Malah, saya perhatikan di media sosial, ada warga asing atau pelancong yang kagum apabila melihat begitu banyak Jalur Gemilang dikibarkan di negara kita, jauh lebih meriah berbanding beberapa negara lain yang pernah mereka lawati,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kementerian mengalu-alukan sentuhan kreativiti rakyat dalam menghidupkan sambutan HKHM tahun ini.
“Dalam kita meraikan Bulan Kebangsaan, aspek kreativiti amat penting kerana lazimnya kita beranggapan semangat patriotisme yang dipamerkan mempunyai format dan tatacaranya, namun sebenarnya masih ada ruang untuk kita berekspresi secara kreatif, dan saya amat mengalu-alukannya,” katanya.
Beliau menambah, pelbagai acara menarik turut dijadualkan pada 30 Ogos ini, antaranya Program RIUH Merdeka 2025 selama 30 jam tanpa henti di tapak letak kereta Monumen Alaf Baharu.
“Kita juga ada Quran Hour yang akan berlangsung di Masjid Negara, selain PENTARAMA Merdeka@HOHO – Hop On Hop Off, iaitu program menaiki bas mengelilingi seluruh Kuala Lumpur bagi menyemarakkan lagi semangat bulan kebangsaan,” jelasnya.
-RI





