
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Sabah)
TAMBUNAN, 12 Ogos 2025 (MalaysiaAktif) – Sempena Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Kampung Kapayan Lama, di sini pengunjung bukan sahaja disajikan dengan suasana penuh patriotisme, malah berpeluang mengenali pelbagai produk tempatan hasil usaha anak-anak Sabah di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.
Pegawai Pembimbing Usahawan Jabatan Pertanian Daerah Tambunan Ejuanah Buntung, menjelaskan bahawa jabatan ini bukan sekadar menjadi penasihat, malah rakan strategik dalam membangunkan potensi usahawan tempatan.

Wong Yau Chin @ Roy bersama produk tempatan yang dihasilkannya sendiri.
“Kami di Jabatan Pertanian sentiasa memberi bimbingan kepada usahawan, sama ada dalam aspek pemprosesan, penyediaan peralatan atau pemasaran produk.
“Sebenarnya, ada lebih 40 usahawan di bawah bimbingan kami, namun untuk program ini hanya dua pengusaha dapat hadir kerana komitmen lain. Walaupun begitu, kami bangga dapat membawa hasil terbaik mereka untuk diperkenalkan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui semasa Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Kampung Kapayan Lama, di sini pada Ahad.
Tambahnya, melalui program KMJG ini, semangat patriotik dan sokongan terhadap produk buatan tempatan berjalan seiring, membuktikan bahawa cinta kepada negara juga boleh dizahirkan dengan menghargai hasil tangan anak bangsa sendiri.
Dalam pada itu, usahawan, Wong Yau Chin @ Roy, 52, berkata penyertaan dalam KMJG ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja mempromosikan produk, malah mengangkat warisan rasa tempatan seiring dengan semangat cinta tanah air.

Produk tempatan iaitu Sos Cili Tuhau, Sos Cili Kantan, Sos Cili Liposu serta produk terbaru, Sambal Trio Mami.
“Sos cili kami mempunyai cita rasa tempatan Sabah yang unik dan digemari ramai, termasuk Sos Cili Tuhau, Sos Cili Kantan, Sos Cili Liposu serta produk terbaru, Sambal Trio Mami.
“Selain itu, melalui program seperti KMJG ini, kami dapat bertemu pelanggan secara langsung, berkongsi kisah di sebalik produk, dan membawa rasa Sabah kepada lebih ramai orang termasuk pelawat dari luar negara,” jelasnya.
Program KMJG membuktikan bahawa kemerdekaan mampu memacu ekonomi tempatan dengan bimbingan Jabatan Pertanian, sambil menzahirkan semangat patriotik melalui sokongan kepada produk anak bangsa.
-RJ-






