Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Si Cilik TTDA Ceria Sambut Bulan Kebangsaan

By 27 Ogos 2025Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Vikkneswaran/Mohd Ridhuan

BAGAN, 27 Ogos (MalaysiaAktif) – Melentur buluh biarlah dari rebungnya dan berpandukan pepatah itu, Tabika Perpaduan Taman Tun Dr. Awang (TTDA) telah menganjurkan program Perarakan Si Cilik sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025, hari ini.

Haslinda ketika ditemu bual Malaysia Aktif.

Program itu menghimpunkan penyertaan kanak-kanak Tabika Perpaduan bersama ibu bapa, Jawatankuasa Rukun Tetangga Lebai Tahir serta komuniti sekitar yang tampil dengan pakaian bertemakan Jalur Gemilang dan kostum tradisional berbilang kaum.

Lebih menarik, anak-anak kecil turut mempersembahkan sorakan patriotik dan persembahan seni budaya yang memupuk semangat cintakan negara sejak di bangku awal pendidikan.

Menurut Pegawai Perpaduan Daerah Seberang Perai Utara Haslinda Murad, penganjuran program itu dipercayai berkesan dalam menyemai semangat patriotik dan menjadi jambatan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Antara gelagat si cilik sewaktu perarakan mengelilingi kawasan perumahan sekitar Taman Tun Dr. Awang.

“Program ini menjadi platform bagi mereka (kanak-kanak) mengekspresikan rasa cinta kepada tanah air sejak kecil lagi,” katanya.

Majlis disemarakkan dengan nyanyian beramai-ramai lagu Negaraku yang bergema penuh semangat diiringi kibaran Jalur Gemilang, pastinya meninggalkan kenangan manis buat si cilik.

-RI

Tinggalkan komen anda