
Laporan/foto: Erzufariza Zulkifly (Maran)
MARAN, 16 Ogos (MalaysiaAktif) – Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan berbentuk wang tunai kepada lebih 90 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di daerah Maran baru-baru ini.

Antara penerima sumbangan mangsa ribut.
Salah seorang penerima sumbangan Zainudin Muhammad, 30, berkata beliau mengalami kerugian yang agak tinggi akibat kerosakan beberapa bahagian rumah seperti atap terbang, tandas runtuh dan lain-lain.
“Dengan sumbangan wang tunai yang diberikan oleh Tengku Mahkota Pahang bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sedikit sebanyak dapat membantu dan memberi kelegaan kepada kami mangsa ribut,” katanya.

Zainuddin ketika ditemu bual.
Ujarnya lagi, kehadiran Tengku Mahkota Pahang yang berkenan menyantuni mangsa ribut menggambarkan sifat keprihatinan yang tinggi baginda terhadap rakyat jelata.
Majlis Pengurniaan Mangsa-Mangsa Ribut Daerah Maran di Dewan Akademi Usahawan Tani di sini semalam turut dihadiri Ahli Parlimen Maran Datuk Sri Ismail Abdul Mutalib dan Pegawai Daerah Maran Datuk Khairun Nissa Aris.
-RI





