
Laporan/foto: Lyana Athirah/Noor Syuhada (Pokok Sena)
ALOR SETAR, 11 Ogos (MalaysiaAktif) –Warga emas terus diberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi secara selamat melalui Program JIWA@Komuniti Sembang Santai di Wellness Hub, di sini semalam yang turut menekankan langkah mengenal pasti serta mengelakkan taktik penipuan dalam talian.

Peserta memberi tumpuan terhadap perkongsian keselamatan Internet.
Wakil Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Pokok Sena Lyana Athirah Mohd Saad berkata program itu juga membantu mengelakkan peserta daripada Kelab Kebajikan Warga Emas Kota Setar daripada risiko scam dan langkah menjaga keselamatan maklumat peribadi.
“Ia antaranya dengan penggunaan kata laluan yang kukuh, mengelak berkongsi maklumat peribadi secara terbuka, mengenal pasti laman web yang sahih dan berhati-hati dengan pautan mencurigakan.
“Mereka juga dimaklumkan mengenai keperluan mengemas kini perisian secara berkala, mengelak memuat turun fail daripada sumber tidak dikenali, mengaktifkan pengesahan dua faktor serta sentiasa berwaspada terhadap panggilan atau mesej yang mencurigakan,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Peserta memulakan pagi dengan aktiviti zumba bersama tenaga pengajar.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Kebajikan Warga Emas Kota Setar Hassan Othman berkata aktiviti sebegitu menggalakkan lebih ramai warga emas menyertai aktiviti komuniti untuk kekal aktif, sihat dan berilmu.
Ia susulan pengisian program anjuran JAPEN Daerah Pokok Sena bersama Komuniti MADANI Jalan Langgar – Jalan Teluk Wanjah itu yang turut diisi aktiviti zumba santai yang mendapat sambutan menggalakkan peserta.
-RI





