Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

BUDI95: Pengguna Sambut Baik Penggunaan MyKad, Proses Tebusan Mudah dan Pantas

By 30 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhaimin Musa/Muhammad Azrul Hafiz

KUALA LUMPUR, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang menggunakan MyKad sebagai kaedah penebusan subsidi mendapat sambutan baik daripada pengguna dan pihak stesen minyak.

Penggunaan MyKad dilihat sebagai langkah yang memudahkan dan mempercepatkan proses penerimaan bantuan RON95, sekali gus mencapai objektif kerajaan untuk menyasarkan subsidi terus kepada golongan yang layak.

Sejak tarikh pelaksanaannya, pada 27 September bagi anggota polis dan tentera), 28 September (penerima Sumbangan Tunai Rahmah) dan hari ini bagi semua warganegara Malaysia yang layak, tinjauan Malaysia Aktif mendapati penggunaan MyKad bagi tebusan BUDI95 berjalan lancar.

Fazrul Iwan, 31 berpuas hati dengan sistem BUDI95 yang menggunakan MyKad.

Kaedah ini dianggap lebih mesra pengguna dan tidak rumit di mana pengguna hanya perlu memasukkan MyKad, pilih jumlah pembelian dan mengesahkan transaksi.

Malah, ada yang mencadangkan agar ia dipermudahkan lagi dengan hanya tap (sentuh) MyKad, seolah-olah menggunakan kad Touch ‘n Go, untuk pengalaman yang lebih pantas.

Pengusaha stesen minyak Wan Muhammad Hafidz, 42, berkata bahawa sistem tersebut berfungsi dengan baik sejak hari pertama pelaksanaan.

“Alhamdulillah, dari segi masalah sistem, kita tidak ada mengalami gangguan apa-apalah. Dan pengguna dapat menggunakan sistem BUDI95 itu dengan baiknya,” katanya, di sini semalam.

Beliau turut menyifatkan usaha kerajaan itu sebagai berjaya dalam menyasarkan subsidi terus kepada pengguna yang berhak.

Juruteknik Fazrul Iwan, 31, berkata kaedah penebusan subsidi itu mudah, cepat dan menjimatkan masa, selain mengakui sistem MyKad yang digunakan buat pertama kali bagi penebusan subsidi berkenaan sangat memuaskan.

Safiyyah Affandi, berkata penggunaan Mykad untuk BUDI95 sebagai mesra pengguna.

Kejayaan awal dalam pelaksanaan inisiatif BUDI95 ini menunjukkan bahawa penggunaan platform digital seperti MyKad adalah efektif dalam pengagihan bantuan.

Kerajaan dilihat telah mengambil langkah proaktif untuk memastikan bantuan subsidi disalurkan dengan telus dan tepat kepada golongan sasar, seterusnya, mengurangkan ketirisan dalam pemberian subsidi kepada rakyat.

-RI

Tinggalkan komen anda