
Laporan/foto: Hamidah Hamid
KUALA PILAH, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Umat Islam perlu menghayati sirah dan akhlak Rasulullah SAW untuk muncul sebagai umat yang bertanggungjawab kepada agama.

Dr. Hasan Bahrom merasmikan Forum Perdana Maulidur Rasul.
“Kekuatan umat Islam bukan hanya terletak pada bilangan, tetapi pada penghayatan akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian,” kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Dr. Hasan Bahrom.
Beliau berkata demikian dalam Forum Perdana Maulidur Rasul sempena Program Jiwa Komuniti MADANI, Sambutan Merdeka dan Hari Malaysia Peringkat DUN Juasseh di Gelanggang Futsal Desa Jemapoh, dekat sini kelmarin.
Tegasnya lagi, sirah Rasulullah SAW perlu dijadikan panduan utama dalam pembinaan Komuniti MADANI.
Forum tersebut menampilkan Ustazah Atriza Umar dan Ustaz Fakruradzi Abdullah sebagai panelis dengan Wabil Adli Shidqie selaku moderator.

Hadirin yang memenuhi Gelanggang Futsal Desa Jemapoh bagi mengikuti Forum Perdana Maulidur Rasul.
Perbincangan menekankan kepentingan meneladani Rasulullah SAW dalam membentuk masyarakat MADANIi yang berakhlak, bersatu padu dan sejahtera.
Program ilmu dengan kehadiran ratusan penduduk setempat itu berjaya menyemarakkan semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW di samping memperkukuh ikatan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Desa Jemapoh.
-RI





