
Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Nor Juliana Jamri (Hulu Langat)
BANDAR BARU BANGI, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula hari ini.

Tetap bersyukur walaupun penjimatan menggunakan motosikal tidak besar seperti kenderaan lain – Danish.
Tinjauan pasukan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Hulu Langat di beberapa stesen minyak sekitar Bandar Baru Bangi mendapati orang ramai teruja mengisi petrol dengan harga lebih rendah.
Pengurus Stesen Minyak Petronas UNIKEB 3, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, Norazliza Muhammad berkata pelanggan mula berpusu-pusu seawal jam 7 pagi.
“Walaupun ada pelanggan yang perlukan bantuan semasa menggunakan terminal pam minyak, keadaan tetap terkawal kerana proses pengesahan berjalan lancar,” jelasnya.
Seorang penerima manfaat, Sulaiman Ariff, 53, menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan inisiatif BUDI95.

(Kanan) Sulaiman sangat bersetuju dengan inisiatif BUDI95 kerana kerajaan dapat kawal ketirisan.
“Langkah itu mampu menjimatkan ratusan juta ringgit dana kerajaan daripada dinikmati golongan yang tidak layak.
“Had 300 liter sebulan yang disediakan kerajaan sebenarnya lebih daripada mencukupi,” kata pekerja swasta itu.
Seorang lagi pelanggan, Muhammad Danish, 21, berkata walaupun hanya menunggang motosikal, inisiatif tersebut tetap memberi penjimatan bulanan yang membantu mengurangkan beban perbelanjaannya.
“Nampak kecil, tapi bila terkumpul setahun, penjimatan ini boleh jadi besar dan betul-betul membantu,” kata pelajar sebuah universiti itu.
-RI





