Skip to main content
Berita TengahBerita TempatanSelangor

PM Rasmikan TBG, Sedia Jadi Hab Utama Pantai Timur

By 29 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Jabatan Penerangan Malaysia

GOMBAK, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang bernilai RM307.4 juta.

(Dari kiri) Anthony Loke dan Anwar ketika Majlis Perasmian TBG hari ini.

Terminal moden itu mampu menampung sehingga 700 perjalanan bas sehari dengan melibatkan sekitar 25,000 penumpang.

Beroperasi sejak 5 Mac lalu, TBG kini menempatkan 30 pengendali bas ekspres dengan purata sebanyak 3,000 perjalanan setiap bulan dan boleh dimanfaatkan secara optimum bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Anwar berkata pembangunan itu diharap menjadi contoh terbaik kerana TBG merupakan antara terminal besar dan berperanan penting dalam melengkapkan jaringan pengangkutan awam negara.

“Sekiranya dapat digabungkan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), ia akan memberi kemudahan tambahan kepada rakyat dengan mempercepat dan memudahkan perjalanan,” katanya pada majlis perasmian TBG, di sini hari ini.

Anwar menyentuh kad ketika melalui pintu berpalang yang terdapat di TBG ketika gimik perasmian.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata TBG merupakan terminal kedua selepas Terminal Bersepadu Selatan, siap dibangunkan selepas hampir 10 tahun dan mula beroperasi sejak April lalu.

Menurutnya, kerajaan merancang menjadikan TBG hab utama bas ekspres ke Pantai Timur, selain diintegrasikan dengan Transit Aliran Ringan (LRT) dan projek ECRL.

“Model pembangunan dilaksana melalui kerjasama awam-swasta dengan konsesi 25 tahun, manakala ruang komersial dan jabatan kerajaan akan dimanfaatkan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat.

“Kita yakin TBG mampu berkembang sebagai pusat tumpuan baharu dengan integrasi pengangkutan awam, pembangunan kediaman serta kemudahan komersial di kawasan sekitarnya,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda