Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Hari Terbuka PDK Julau Meriah, Tekankan Kepentingan Kesihatan dan Pemulihan OKU

By 12 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Siti Rahimah Ajis (Sarawak)

JULAU, 12 Sept (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Julau semalam menganjurkan Program Hari Terbuka PDK Julau 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah dan bertujuan mengeratkan hubungan antara PDK, komuniti setempat dan agensi berkaitan, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan, kesejahteraan dan usaha pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU).

Ahli Parlimen Julau merangkap Pengerusi PDK Julau Datuk Larry Sng Wei Shien dalam ucapannya berkata masih ramai penduduk pedalaman yang kurang mengetahui kewujudan dan fungsi PDK.

“PDK bukan sahaja menyediakan ruang pembelajaran dan latihan, malah membantu pelatih OKU keluar daripada keterasingan di rumah panjang untuk menjalani kehidupan yang lebih aktif dan bermakna,” katanya.

Sng (duduk baris depan, tiga kanan) bersama petugas PDK dan golongan OKU serta ibu bapa masing-masing.

Menurut Sng lagi, pelatih PDK layak menerima elaun khas sebanyak RM300 sebulan, dengan syarat kehadiran sekurang-kurangnya lapan kali sebulan.

“PDK berperanan memberikan motivasi, membina keyakinan serta menolong OKU menjadi lebih berdikari dan sekiranya terdapat kekangan pengangkutan, saya akan terus menyokong agar program PDK dapat disertai oleh lebih ramai OKU dari Julau dan Pakan,” ujarnya lagi.

Kelebihan lain yang boleh diperolehi melalui PDK Julau ialah latihan kemahiran vokasional, terapi fizikal dan motor halus, latihan sosioekonomi seperti kraftangan dan jahitan.

Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti ilmiah dan kesihatan yang merangkumi ceramah Kesihatan Mental Ibu Bapa, Kesejahteraan Anak OKU oleh Pegawai Psikologi dari PKMB Sarikei, diikuti perkongsian Langkah Awal ke Arah Kendiri oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi dan penerangan mengenai Kenali Penyakit Berjangkit: Risiko dan Langkah Pencegahan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan percuma merangkumi tekanan darah, tahap gula dan indeks jisim badan (BMI) turut disediakan untuk pengunjung dan kemudiannya disusuli aktiviti menarik lain seperti sukaneka, pertandingan produk dan pameran kraftangan yang memberi peluang kepada pelatih OKU mempamerkan hasil karya mereka.

Aktiviti memanaskan badan bersama para pelatih dan ibu bapa.

Menurut Penyelia PDK Maimi Ricky Chang, program ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat, memupuk kerjasama dan memperkukuhkan sokongan komuniti terhadap usaha pemulihan OKU.

“Pendaftaran kemasukan OKU bagi sesi 2025/2026 kini dibuka kepada semua warganegara Malaysia berumur empat tahun ke atas yang memiliki kad OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tanpa mengira kategori.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi saya di talian 0138139196 atau melalui emel [email protected],” jelasnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda