
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)
ALOR SETAR, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan pemberian bantuan khas berjumlah RM100 secara sekali beri kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira tahap pendapatan melalui inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA Untuk Semua).

Orang ramai sedang membeli barangan keperluan harian dengan menggunakan Sumbangan Asas Rahmah yang diterima mereka.
Langkah itu dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan membantu meringankan beban rakyat dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar.
Menurut Anwar bantuan itu disalurkan secara berperingkat bermula 31 Ogos lepas hingga 31 Disember ini terus ke akaun penerima.
Hasil tinjauan Malaysia Aktif Kedah semalam mendapati rata-rata rakyat menyambut baik pengumuman tersebut.
Seorang suri rumah, Halimah Mohd Zuki, 35, berkata bantuan berkenaan amat bermakna terutama bagi golongan keluarga sederhana.

Antara pasar raya yang menyediakan Sumbangan Asas Rahmah.
“Walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi ia cukup membantu saya membeli barangan dapur harian. Kerajaan prihatin dengan rakyat,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Selva Kumar, 42, inisiatif tersebut jelas menunjukkan kerajaan mendengar suara rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Saya berterima kasih kerana semua dapat, tidak kira kaya atau miskin. Setidaknya, setiap orang merasa keprihatinan kerajaan,” ujarnya.
Kerajaan berharap SARA Untuk Semua dapat memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Malaysia dan sekali gus mengukuhkan semangat solidariti masyarakat.
-RI





