Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

YAB PM Anwar Kecam Serangan Regim Israel terhadap Qatar

By 10 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan yang dilakukan Regim Israel terhadap Qatar.

“Perdana Menteri telah mengeluarkan satu kenyataan kecaman terhadap serangan yang telah berlaku di Qatar yang dilakukan oleh regim Zionis Israel.

“Serangan ini semestinya satu perkara yang tidak boleh diterima malah percubaan untuk menggagalkan mediasi dan juga negosiasi yang sedang berjalan untuk menamatkan genosid yang berlaku di Gaza,” kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Sidang Media Mingguan Kerajaan MADANI, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan serangan terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan Tunisia pada Isnin dan Selasa lepas.

“Saya amat terkesan dengan dua insiden serangan dron yang telah dilakukan ke atas bot Familia Madeira dan Alma dalam lebih kurang masa 24 jam antara dua serangan ini terhadap aktivis kemanusiaan dan juga misi aman tersebut.

“Tindakan serangan ini adalah tindakan yang bacul, tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa dan langsung tidak menghormati nilai-nilai sejagat,” katanya.

Fahmi berkata tindakan itu juga adalah percubaan menghalang, menakut-nakutkan dan melemahkan misi aman yang bertujuan memecahkan kepungan terhadap Gaza dan menyampaikan mesej solidariti dunia buat Palestin.

Terdahulu, Anwar menerusi hantaran di Facebooknya mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha di Qatar.

“Tindakan itu membahayakan nyawa orang awam, serangan ke atas ibu negara yang berdaulat dan boleh mencetuskan ketegangan di rantau yang sudah pun rapuh.

“Malaysia berdiri teguh bersama Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pencerobohan yang melampau itu,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda