
Laporan/ foto : Iswandy Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Majlis Zikir Maulud anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman berlangsung meriah malam tadi dengan kehadiran hampir 300 jemaah yang memenuhi ruang solat utama masjid berkenaan.
Majlis yang diadakan selepas solat Maghrib itu turut diserikan dengan penyertaan beberapa kumpulan zikir jemputan dari sekitar Simanggang, antaranya Kumpulan Warisan Budaya Kampung Hulu Lemanak, Kumpulan Suara MASLA Kampung Tengah dan Kumpulan Nur Sa’adah Surau Kebahagiaan Kampung Hilir.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi berkata majlis berkenaan merupakan antara aktiviti tahunan yang dinantikan masyarakat setempat kerana bukan sahaja menghidupkan sunnah memperingati Maulidur Rasul, malah mengeratkan ukhuwah antara kariah dan kumpulan zikir di daerah itu.

Zikir diketuai oleh Abang Razali Abang Ramli (tengah).
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, sambutan kali ini amat menggalakkan dan kehadiran hampir 300 jemaah adalah bukti kasih umat kepada baginda Nabi Muhammad SAW.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan kita akan memperluaskan lagi jemputan dengan melibatkan lebih banyak kumpulan zikir dari seluruh Bahagian Sri Aman agar cahaya selawat terus bergema di bumi Simanggang ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan berganding bahu menjayakan majlis berkenaan, selain berharap tradisi ilmu dan syiar Islam seperti itu dapat terus diperkasakan pada masa akan datang.

Kumpulan Zikir Muslimah turut hadir pada Majlis Zikir Maulud di Masjid Bandar Sri Aman.
“Semoga majlis seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan sesama umat Islam tetapi juga menanam rasa cinta mendalam kepada Rasulullah SAW dalam jiwa generasi muda, tambahan pula inilah warisan rohani yang wajib kita pelihara agar cahaya Islam terus bersinar di bumi Sri Aman,” ujarnya.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat sebelum jemaah menunaikan solat Isyak secara berjemaah yang turut dihadiri Khaleed Hafeez dari Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, ketua-ketua kaum dan masyarakat setempat, selain pengerusi-pengerusi masjid dan surau berhampiran.
-RJ-





