
Laporan/ foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 12 Okt (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor meneruskan tradisi meraikan kepelbagaian kaum dan budaya melalui penganjuran Program Jom Shopping Deepavali.
Program berkenaan memberi manfaat kepada 500 penerima daripada kalangan masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Kelihatan Amirudin menyantuni masyarakat India di Majlis Penyampaian Baucar Jom Shopping Deepavali di Pasaraya Sri Ternak hari ini
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata program tersebut merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri yang ditambah baik dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan bagi membantu rakyat membuat persiapan.
“Kalau dulu kita beri RM100, sekarang kerajaan negeri tingkatkan kepada RM200 bagi setiap penerima sebagai bantuan membeli keperluan sempena sambutan Deepavali,” katanya.
Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan Baucar Jom Shopping Deepavali di Pasaraya Sri Ternak, di sini hari ini.
Beliau mengakui nilai itu mungkin tidak mencukupi sepenuhnya, namun yakin ia dapat meringankan sedikit beban keluarga yang membuat persiapan menyambut perayaan cahaya dan kemenangan itu pada 20 Oktober ini.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan keharmonian serta keadilan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Kadang-kadang ada langkah yang nampak berat sebelah, tapi niat kita jelas untuk memudahkan urusan semua pihak dan memastikan tiada yang tertinggal,” katanya.
Beliau turut menekankan komitmen kerajaan negeri dan persekutuan dalam menyediakan penempatan baharu secara teratur bagi rakyat yang terlibat dengan pembangunan semula kawasan tertentu.
“Ada juga orang luar yang tak setuju walaupun penduduk setempat dah bersetuju, tapi itu lumrah. Kita tetap teruskan kerja untuk kebaikan bersama,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat India di Selangor dan Malaysia.
“Semoga perayaan ini memberi kekuatan baharu kepada kita semua untuk terus berpadu, memperkukuh silaturahim dan menjamin keharmonian sebagai rakyat yang bertolak ansur dan saling menghormati,” katanya.
-AA-





