
Laporan/ foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 12 Okt (MalaysiaAktif) – Bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi, tetapi menjadi lambang perpaduan dan identiti bangsa yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Amirudin (tiga dari kiri) dan tetamu kehormat menunjukkan buku-buku terbaharu keluaran DBP pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen MPAJ
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata penghayatan dan penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian perlu terus diperkukuh bagi memastikan nilai perpaduan dan jati diri nasional kekal utuh.
“Sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mencerminkan semangat dan asas perpaduan negara.
“Bahasa ini menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati di sini, hari ini.

Amirudin, tetamu kehormat dan para hadirin bergambar bersama sambil menunjukkan tanda MADANI selepas Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 di Taman Melawati
Ahli Parlimen Gombak itu menyifatkan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sebagai wadah penting dalam memperkukuh semangat patriotik serta identiti kebangsaan.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri Selangor juga sentiasa mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan dengan memastikan semua urusan rasmi, papan tanda dan nama tempat menggunakan Bahasa Melayu mengikut ketetapan DBP.
“Selain itu, Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut menekankan kepentingan penggunaan tulisan Jawi dan Rumi pada papan tanda sebagai simbol warisan serta kekuatan budaya bangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, komitmen berkenaan akan terus diperkasa bagi memastikan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama dan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat bersatu serta beridentiti nasional yang kukuh.
-AA-





