
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 27 Okt (MalaysiaAktif) – Tanpa perlu mendedahkan identiti pengadu, talian Befrienders sentiasa bersedia untuk menerima panggilan daripada individu yang berdepan tekanan emosi, kesunyian atau pemikiran untuk membunuh diri.
Setiausaha Kehormat Befrienders Kota Kinabalu (KK), Farah Noah berkata, talian Befrienders KK beroperasi setiap hari bermula pada jam 7 pagi hingga 10 malam dan menerima apa sahaja jenis aduan melibatkan masalah psikososial.
“Kami menyediakan sokongan emosi, dan talian ini terbuka untuk semua orang, boleh juga menghubungi melalui aplikasi Whatsapp, kongsikan sahaja apa yang membebankan anda, kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu.

Farah Noah (pertama dari kiri) dan Anizah Teo (duduk) bersama ahli Befrienders KK berada di reruai pameran sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental 2025 Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu.
“Jangan takut, kerana kami tidak akan prejudis, tidak akan bertanya mengenai latar belakang anda, agama atau bangsa anda, Befrienders adalah platform yang selamat dan sulit,” katanya ketika ditemui semasa Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 Peringkat Negeri Sabah di sini pada Sabtu.
Sementara itu, salah seorang ahli terlama di Befrienders KK, Anizah Teo, 75, menasihatkan golongan remaja untuk tidak memendam masalah emosi seorang diri tanpa sebarang bantuan.
“Golongan muda mereka berdepan dengan pelbagai tekanan antaranya daripada persekitaran, kawan, termasuk perkara yang mereka lihat di media sosial juga mempunyai pengaruh ke atas emosi mereka.
“Tidak salah untuk merasa tidak baik, tetapi kita mesti mencari jalan untuk bercakap dengan seseorang, meluahkan apa yang terbuku di akal fikiran, terutama melalui Befrienders, kerana di sini kami mendengar, dan kami ambil perhatian kepada masalah anda,” ujarnya.
Untuk makluman, individu yang mahu menghubungi Befrienders KK boleh melalui aplikasi Whatsapp di talian 016-8036945 atau melayari laman media sosial rasmi Befrienders KK.
-RJ-





