Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bekas Fisioterapi, Kini Jana Pendapatan dengan Buah Tin

By 2 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Norshazila Ahmad

JERAM, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Siapa sangka, meninggalkan dunia sukan profesional boleh membuka pintu kejayaan dalam bidang pertanian? Itulah yang dibuktikan oleh Mohd Syahril Hasni bekas fisioterapi sebuah kelab bola sepak yang kini menjadikan tanaman buah tin sebagai sumber pendapatan utama.

Berbekalkan minat mendalam terhadap bidang pertanian, Mohd Syahril, 45, memulakan langkah pertama dengan hanya 15 pokok tin yang ditanam di halaman rumah.

Tanaman buah tin yang diusahakan Mohd Syahril Hasni di Jeram ini mempunyai 150 pokok dengan 80 varieti.

Kini, beliau berjaya mengusahakan lebih 150 pokok meliputi lebih 80 varieti dari pelbagai negara seperti Sepanyol, Perancis dan Itali.

“Semua pokok tin saya tanam dalam Rumah Perlindungan Hujan (RPH) bersaiz 60 x 20 kaki. Ia bukan sahaja mudah dijaga, malah mempunyai permintaan tinggi dan nilai pasaran yang menguntungkan,” katanya ketika ditemui di kebunnya, SadoFigGarden, di sini semalam.

Menurut Mohd Syahril, anak pokok tin boleh dijual pada harga antara RM40 hingga RM280 sepokok bergantung kepada jenis dan saiz.

Hasil jualan anak pokok, buah segar dan produk sampingannya itu membolehkan beliau menjana pendapatan sekitar RM3,000 sebulan hasil jualan.

Lebih menarik, beliau turut menawarkan khidmat nasihat penjagaan tanaman dan menjual baja organik kepada pelanggan yang berminat melalui media sosial.

“Saya gunakan sepenuhnya platform seperti Facebook dan TikTok untuk promosi, Alhamdulillah, sambutan sangat positif, ramai yang berminat nak cuba tanam sendiri,” jelasnya.

Mohd Syahril Hasni bukan sahaja menjual buah tin malah turut menjual anak pokok buah tin, baja serta penjagaan baja pada pelanggan.

Bagi Syahril, pertanian moden bukan lagi pekerjaan kelas kedua, sebaliknya satu bidang yang berpotensi menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan dengan ilmu dan kesungguhan.

Beliau turut berharap kisah kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang pertanian berteknologi tinggi.

“Jangan takut untuk berubah, kadang-kadang, rezeki yang lebih baik datang dari jalan yang kita tak sangka,” pesan Syahril penuh semangat.

-RI

Tinggalkan komen anda