Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Forum ASCC 2025: Fokus Lima Bidang Utama Warisan dan Budaya

By 8 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Hazlina Tajuddin (Selangor)

PETALING JAYA, 8 Okt (MalaysiaAktif) – Malaysia memberi tumpuan kepada lima bidang keutamaan di bawah tonggak Komuniti Sosial-Budaya ASEAN (ASCC) menerusi Forum Peringkat Tertinggi Komuniti Sosiobudaya ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Tiong melawat reruai di Bazar Seni dan Kraft ASEAN yang menampilkan hasil seni dan kraf terbaik daripada negara-negara anggota ASEAN dan Timor-Leste

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata sebagai Pengerusi Majlis ASCC tahun ini, Malaysia akan memastikan bidang keutamaan ASCC sejajar dengan aspirasi ASEAN Community Vision 2045 (ACV 2045).

“Selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN tahun ini iaitu Keterangkuman dan Kemampanan, keutamaan ASCC dikelompokkan kepada lima bidang utama iaitu budaya dan warisan, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pekerjaan hijau, kesihatan, potensi belia dan sukan serta tindakan iklim yang menekankan tadbir urus di bawah Pelan Statategik ASCC yang baharu diterima pakai,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ASCC, di sini semalam.

Ahli panel yang terlibat sempena Forum Peringkat Tertinggi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) 2025

Tiong berkata fokus pertama ialah memperkukuh identiti ASEAN melalui peningkatan kesedaran budaya dan warisan, selain memperluas industri kreatif dan melindungi warisan serantau.

“Malaysia turut menekankan perpaduan dalam kepelbagaian dengan memberi tumpuan kepada inovasi dan penyertaan belia dalam aktiviti sukan di peringkat ASEAN, manakala tindakan terhadap perubahan iklim diteruskan melalui usaha penyesuaian dan mitigasi yang selaras dengan Pelan Tindakan Kumpulan Kerja ASEAN mengenai perubahan iklim,” katanya.

Tiong juga yakin pandangan dan perspektif yang dikongsi Majlis ASCC akan memberi manfaat kepada semua peserta termasuk sektor kerajaan, swasta, ahli akademik, badan pemikir, rakan dialog, pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan.

Turut berlangsung Bazar Seni dan Kraft ASEAN yang diadakan sempena forum tersebut yang menampilkan hasil seni dan kraf terbaik daripada negara-negara anggota ASEAN serta Timor-Leste.

-AA-

Tinggalkan komen anda