
Laporan/ foto: Iswandy Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 31 Okt (MalaysiaAktif) – Kejayaan dalam peperiksaan tidak hanya bergantung kepada usaha semata-mata tetapi turut menuntut doa, disiplin dan kesedaran bahawa menuntut ilmu merupakan satu bentuk jihad berterusan dalam membina masa depan bangsa dan negara.

Dayang Noorazah menyeru semua pelajar untuk memberi penekanan kepada doa, disiplin dan tuntutan ilmu sebagai jihad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata demikian semasa Majlis Solat Hajat Perdana Calon Peperiksaan Utama 2025 yang diadakan di Masjid Bandar Sri Aman, semalam.
Program anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman dan Masjid Bandar Sri Aman itu menghimpunkan calon (Ujian Penilaian Dual Language Programme) UPDLP Sarawak, (Ujian Penilaian Kelas KAFA) UPKK, Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bersama guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat setempat.
Majlis tersebut bertujuan memohon keberkatan dan pertolongan Allah SWT agar para pelajar dipermudahkan urusan dan dikurniakan kejayaan dalam peperiksaan yang bakal tiba.
Dayang Noorazah turut menyeru para pelajar supaya menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan dan menjadikan pendidikan sebagai perjuangan hidup.
“Melalui ilmu, kita mampu mengubah nasib keluarga, memperkukuh bangsa dan memajukan negara.
“Oleh kerana itu, janganlah berhenti menuntut ilmu kerana perjuangan sebenar tidak pernah berakhir,” ujarnya.
Beliau mengingatkan para pelajar agar menggunakan teknologi secara berhemah, mengelakkan gangguan dunia digital dan terus menjaga akhlak, disiplin termasuk menghormati guru.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Haji Muhiyuddin turut menyeru pelajar memperbanyakkan doa, menggunakan masa berbaki untuk mengulangkaji secara berstrategi dan menjaga kesihatan menjelang peperiksaan.
Majlis yang turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan (Unit Pendidikan Islam) PPD Sri Aman Ustaz Syaifullah Ismail itu berlangsung penuh kesederhanaan tetapi mencerminkan semangat kerjasama antara sekolah, masyarakat dan pemimpin dalam membina generasi pelajar yang berilmu, berakhlak dan berjiwa besar.
-RJ-





