Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

PDT, UEM Lestra Jalin Kerjasama Pacu Peralihan Tenaga Bersih Johor

By 31 Oktober 2025November 1st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Permodalan Darul Ta’zim (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 31 Okt (MalaysiaAktif) – Permodalan Darul Ta’zim (PDT), syarikat milik penuh kerajaan negeri Johor, memeterai perjanjian kerjasama dengan UEM Lestra Berhad bagi melaksanakan pembangunan projek hibrid solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 1GW di Segamat.

Pengerusi Johor Sustainability Centre Datuk Ir. Hasni Mohamad yang juga Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri berkata kerjasama tersebut mencerminkan pendirian proaktif kerajaan negeri dalam menyokong penggunaan tenaga hijau dan pembangunan mampan.

Hasni, berkata kerjasama antara PDT dan UEM Lestra ini membuktikan pendirian proaktif Johor dalam menyokong penggunaan tenaga hijau, berserta dengan pembangunan yang mampan.

“Projek hibrid solar di Segamat ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah bakal mewujudkan peluang ekonomi bermakna kepada rakyat Johor.

“Kerjasama strategik itu menzahirkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh agenda kelestarian, pemuliharaan alam sekitar serta pemerkasaan ekonomi negeri, sekaligus mengangkat Johor sebagai peneraju utama tenaga boleh diperbaharui di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama antara PDT dan UEM Lestra di Hotel Sunway Big Box, di sini kelmarin.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut merasmikan program Accelerating Malaysia’s Green Transition From Vision To Action – Southern Region Edition pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra Berhad Harman Faiz Habib Muhamad berkata projek solar hibrid berkenaan memperkukuh fokus syarikat terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif serta kelestarian alam sekitar.

“Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja memacu Johor sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui, tetapi juga membawa manfaat secara langsung kepada komuniti setempat,” katanya.

Melalui perjanjian tersebut, PDT akan bertindak sebagai rakan penyelaras utama bagi memudahcara urusan dengan pihak berkuasa negeri serta membantu menarik minat syarikat korporat untuk mendapatkan tenaga hijau.

Projek itu dijangka siap dan mula beroperasi pada suku pertama tahun 2028.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Mohd Noorazam Osman, Ketua Eksekutif Kumpulan PDT Datuk Ramlee A. Rahman dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) Dr. Amirul Haffiz Ariff.

-RI

Tinggalkan komen anda