Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Langgar Syarat EIA, Pemaju Projek Hartanah Didenda RM50,000

By 23 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/JAS Negeri Selangor (Selangor)

SHAH ALAM, 23 Okt (MalaysiaAktif) – Pemaju sebuah projek pembangunan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang, di sini selepas didapati bersalah tidak mematuhi syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA), semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor Wandi Yadzid Yaakob berkata Hakim Mahkamah Sesyen Klang Sharifah Hascindie Syed Omar menjatuhkan hukuman tersebut berdasarkan pertimbangan ke atas kepentingan awam selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan daripada wakil syarikat tersebut.

Longgokan Prefabricated Vertical Drains (PVDs) di tapak projek.

Terdahulu, Pengurus Syarikat yang mewakili syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) telah membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

“Satu pemeriksaan telah dijalankan pada 9 April 2021 di tapak projek pembangunan perindustrian di daerah Klang, mendapati pemaju berkenaan telah menjalankan kerja-kerja tanah tanpa mengemukakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang diluluskan oleh JAS Negeri Selangor.

“Perbuatan tersebut didapati melanggar Syarat No. 57 dalam Syarat-Syarat Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bertarikh 16 Julai 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, syarikat berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Aliran air keluar dari tapak projek ke saliran bersebelahan.

“Pegawai Pendakwa JAS Negeri Selangor dalam hujahnya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada syarikat berkenaan supaya sentiasa mematuhi syarat-syarat kelulusan yang ditetapkan dalam Laporan EIA,” katanya.

Wandi berkata pemaju projek diingatkan untuk sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan-peraturan di bawahnya.

“Ketidakpatuhan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil termasuk sabitan dan pendakwaan di mahkamah.

“JAS Negeri Selangor kekal komited dalam menjalankan pemantauan bagi memastikan tahap pematuhan berterusan terhadap undang-undang alam sekitar, khususnya bagi projek-projek pembangunan yang berpotensi memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda