
Laporan/ foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/ JBPM Selangor
GOMBAK, 22 Okt (MalaysiaAktif) — Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam longkang di Bandar Country Homes, Rawang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 12.40 tengah hari.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pada 20 Oktober lepas kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa memaklumkan kepada adiknya bahawa dia ingin keluar beraya ke rumah seorang rakan.
“Pada keesokan harinya sekitar 9 pagi, adik mangsa gagal menghubungi abangnya dan berusaha mencarinya di rumah rakan tersebut serta kawasan sekitar, namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Ariffin mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum ditemui oleh orang awam.
“Pemeriksaan oleh Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Country Homes, ASP Murziana Qayyisa Angu di talian 012-5285499 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-6126 2222.
-AA-





