
Laporan/ foto : Raszina Kawie (Sarawak)
SAMARAHAN, 29 Okt (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), agensi di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) terus memainkan peranan penting dalam menyokong petani tempatan dengan memperkukuh jaringan pemasaran serta mempromosikan hasil segar keluaran 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negeri.

Produk Gula Apong.
Melalui inisiatif Retail Outlet Peladang eShop, PPNS berjaya menubuhkan pusat pengumpulan dan pemasaran hasil tani tempatan yang memberi peluang kepada petani dan usahawan tani untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Peladang eShop yang terletak di Jalan Muara Tuang Land District, Jalan Mutaqqin, Kota Samarahan mula beroperasi pada 1 Ogos 2024 dengan menawarkan pelbagai produk tempatan tulen dan berkualiti tinggi yang mencerminkan keunikan hasil pertanian Sarawak.
Antara produk yang dijual termasuk beras hitam, beras Bario, gula apong, dabai (Sarawak olive), garam Bario, lada hitam, buah nanas dan ikan tilapia Batang Ai manakala antara produk yang telah dikomersialkan pula ialah keropok dabai, keropok buah cempedak, kerepek peria goreng, madu kelulut, sagu Dalat dan kopi gula apong Sarawak, menjadikan kompleks ini bukan sekadar pusat jualan tetapi juga platform memperkasakan agroindustri tempatan.

Nur Rapizah Oden yang ditemui di Peladang eShop, Kota Samarahan, semalam.
Ketika ditemui MalaysiaAktif semalam, Eksekutif Komunikasi Korporat PPNS Nur Rapizah Oden yang memberikan penerangan berkata pelbagai program telah dirangka bagi memperluas pasaran dan melariskan produk hasil tempatan Sarawak termasuk Program Jualan Rahmah MADANI yang akan diadakan pada 1 hingga 2 November 2025 di mana orang ramai boleh mendapatkan produk pada harga berpatutan.
“PPNS turut menyertai pameran di peringkat antarabangsa seperti Pesta Pulau Bruit 2025 pada 26 hingga 28 September 2025 dan Sarawak Mega Fare 2025 di Suntec Tower, Singapura pada 16 hingga 17 Oktober 2025 bagi memperkenalkan jenama Peladang eShop ke pasaran luar,” katanya lagi.

Ikan tilapia Hydro Dam Lake Batang Ai,Lubok Antu yang boleh didapati di Peladang eshop.
Untuk pasaran tempatan pula, Nur Rapizah memaklumkan Peladang eShop juga merupakan pembekal ikan Tilapia Batang Ai kepada rangkaian restoran Sugarbun yang secara langsung memperluaskan jaringan pemasaran hasil ternakan tempatan.
Tambah beliau lagi, Peladang eShop turut menyediakan perkhidmatan penyediaan dan penjualan bakul hadiah cenderahati yang mengandungi gabungan produk tempatan, menggambarkan cita rasa dan tradisi Sarawak dalam satu kotak.
“Orang ramai dan pelancong luar dipelawa untuk menikmati produk-produk tempatan Sarawak di Peladang eShop yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang sementara Sabtu dari jam 9 pagi hingga 1 petang.
“Bagi kemudahan pembelian secara digital, produk tempatan Sarawak juga boleh didapati secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi https://peladangeshop.com,” ujarnya di akhir perbualan.
-RJ-





