
Laporan/ foto: Sharifah Faridah Wan Razali (Sarawak)
KUCHING, 15 Okt (MalaysiaAktif) – Pulasan, atau turut dikenali sebagai kapulasan dan rambutan botak, merupakan sejenis buah tropika dalam keluarga Sapindaceae yang sama seperti rambutan, laici dan mata kucing.
Dikenali dengan nama saintifik Nephelium mutabile, buah ini mempunyai rasa yang lebih manis berbanding rambutan dan laici tetapi semakin sukar ditemui serta kian dilupakan, khususnya di luar rantau Asia Tenggara.
Berbanding rambutan, buah pulasan sering dipinggirkan kerana rupanya yang kurang menarik namun isi buah ini sebenarnya sangat manis dan bertekstur padat, menjadikannya pilihan enak bagi peminat buah-buahan tropika.
Pulasan juga dikenali dengan pelbagai nama di rantau ini seperti maritam di Brunei dan Kalimantan, bulala pula di Filipina. Ia mempunyai kulit berduri yang lebih pendek dan keras, boleh dimakan segar seperti rambutan dan laici.

Pulasan yang sudah cukup tempoh matangnya boleh segera untuk dinikmati keenakkannya.
Menurut pekebun dan penjual buah di Pasar Tamu Kubah Ria, Satok yang hanya ingin dikenali sebagai Hajijah, 46, pulasan mempunyai keunikan tersendiri iaitu kaedah membukanya yang tidak memerlukan peralatan tajam.
“Seperkara lagi, buah ini sangat manis dan berisi tebal dan jika dikacukkan dengan baka hibrid, pokoknya boleh berbuah dengan lebih cepat serta menghasilkan buah yang lebih besar.
“Pokok pulasan juga boleh mencapai ketinggian antara 10 hingga 15 meter dan mampu mengeluarkan hasil sekitar 15 kilogram setahun,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.
Sementara itu menurut penggemar buah pulasan, Jamahari Laimi, 41, buah ini rasanya manis dan berisi tebal menjadikannya lebih enak dan setanding dengan rambutan.
“Rasanya memang sedap dan manis sehinggakan jika terjumpa buah ini di pasar, saya tidak akan lepaskan peluang untuk membelinya,” ujarnya.

Hajijah bukan sahaja menjual buah pulasan tetapi juga buah-buahan lain di Pasar Tamu Kubah Ria, Satok.
Dari segi penanaman, pokok pulasan sering dijadikan sebagai tanaman hiasan kerana mempunyai bunga bersaiz kecil, berwarna kuning atau keperangan dengan empat hingga lima kelopak berambut halus yang tumbuh secara tunggal atau dalam kelompok di hujung dahan.
Antara varieti yang paling digemari ialah pulasan jenis Si Babat iaitu berwarna merah tua dengan tonjolan panjang pada kulitnya dan terdapat juga pulasan berwarna putih yang lebih jarang ditemui.
Pulasan sememangnya merupakan antara buah tropika tempatan yang wajar dipelihara dan diperkenalkan semula kepada generasi muda memandangkan bagi peminat buah-buahan tempatan, pulasan adalah satu pilihan yang tidak harus dilepaskan kerana kemanisan serta keunikan rasanya yang tersendiri.
-RJ-





