
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/ Mohd khamarul Ariffin Yusop (Tawau)
TAWAU, 10 Okt (MalaysiaAktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM67.76 juta bagi pelaksanaan 17 projek pembangunan infrastruktur dan kerja baik pulih di daerah Tawau di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata peruntukan itu merangkumi pelbagai projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk pembinaan, penyelenggaraan dan pengindahan kemudahan awam.

Lawatan ke Central Market Tawau bagi meninjau projek naik taraf yang dilaksanakan oleh KPKT.
“Program Sentuhan Kasih menjadi wadah bagi KPKT melihat sendiri keberkesanan pelaksanaan projek dan memastikan ia menepati matlamat kesejahteraan rakyat. Kami mahu memastikan setiap projek yang diluluskan benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat.
“Antara projek utama ialah pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari di Bukit Gemok yang dikawal selia Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dengan kos RM42.9 juta serta naik taraf dan pengindahan Taman Awam Pelita bernilai RM9.67 juta yang telah siap dan dibuka kepada orang awam,” katanya ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 di Taman Awam Pelita di sini pada Rabu.
Bagi aspek kebajikan, KPKT katanya melaksanakan Program Baik Pulih Rumah Bandar untuk 17 penerima B40 dengan kos RM340,000 di samping Program Penyelenggaraan Perumahan di PPR Sri Apas dan PPR Sri Titingan bernilai RM530,000 yang telah siap.

Nga Kor Ming meninjau projek di Pasar Ikan Tawau.
“Setiap rumah yang dibaik pulih bernilai RM20,000 dan projek ini dijalankan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah agar dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa,” ujarnya.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 bagi kerja naik taraf Taman Awam Pelita Fasa Kedua, menjadikan jumlah keseluruhan pembangunan KPKT di Tawau kini mencecah RM67.76 juta.
Turut dilaksanakan, pembinaan Balai dan Kuarters Bomba dan Penyelamat Merotai dengan kos RM9.63 juta serta 10 projek naik taraf pasar awam, tandas, struktur bandar dan perparitan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) melibatkan lokasi seperti Pasar Ikan Tawau, Pasar Taman Semarak, Central Market, Tugu Peringatan, laluan Hospital Tawau dan Lorong Megah Jaya.
-RJ-





