Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Sokongan Rakyat Malaysia Jadi Bekal Semangat Kami Belayar – Sukarelawan GSF

By 9 Oktober 2025Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN

KUALA LUMPUR, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Meskipun perjalanan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza penuh risiko, namun sokongan serta doa rakyat Malaysia menjadi bekalan semangat buat 23 sukarelawan negara yang menyertai pelayaran tersebut.

Illya Balqis Suhaimi berkata sokongan jitu dan berterusan daripada rakyat Malaysia menjadikan pelayaran mereka lebih mudah meskipun berdepan pelbagai ujian di lautan.

Salah seorang peserta, Illya Balqis Suhaimi berkata sokongan jitu dan berterusan daripada rakyat Malaysia menjadikan pelayaran mereka lebih mudah meskipun berdepan pelbagai ujian di lautan.

“Kehadiran kami di sini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan kalian. Walaupun diuji dengan kerosakan tandas, kapal berlubang dan layar patah, berkat doa rakyat Malaysia segalanya dipermudahkan.

“Kami kaitkan kesukaran pelayaran ini dengan penderitaan saudara kita di Gaza di mana wanita dan anak kecil yang menempuh ujian jauh lebih besar,” katanya ketika berkongsi pengalaman dalam misi global memecah sekatan Israel terhadap kemasukan sebarang bantuan ke wilayah Palestin itu.

Illya Balqis merupakan antara sukarelawan Malaysia berjiwa besar yang diraikan dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata himpunan berkenaan bertujuan meraikan kepulangan wira dan wirawati negara yang ditahan rejim Zionis sebelum dibebaskan dan selamat pulang ke tanah air malam kelmarin.

Terdahulu, 23 sukarelawan GSF dari Malaysia bersama 500 aktivis dari 44 negara ditahan tentera Israel selepas kapal mereka dipintas di zon merah perairan Laut Mediterranean pada 2 Okt, sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Episod itu berakhir apabila semua mereka selamat kembali ke tanah air hasil kecekapan diplomasi Anwar yang berunding dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.

Proses pembebasan sukarelawan Malaysia turut melibatkan kerjasama erat antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan kerajaan Jordan, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah Steve Witkoff.

Nurfarahin Romli atau Farah Lee berkata hadir ke Himpunan Solidariti Bersama Gaza bagi meraikan rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan sepanjang pelayaran GSF.

Sementara itu, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee berkata meskipun beliau segan untuk diraikan dalam himpunan yang dihadiri lebih 16,000 peserta daripada pelbagai latar belakang itu, namun beliau memilih untuk hadir bagi meraikan rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan sepanjang pelayaran GSF.

“Tanpa suara anda, suara kami tidak akan didengari. Ini majlis untuk meraikan semua rakyat Malaysia yang bersatu menjadi satu suara besar untuk Palestin.

“Saya harap kesatuan ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan personaliti akan terus menggunakan kelebihan masing-masing untuk Gaza dan Palestin. Semoga ia diteruskan untuk menolak kekejaman dan terus bersuara sehingga Palestin benar-benar bebas kelak.

“Semoga nama kita tertulis dalam kalangan mereka yang membebaskan Palestin suatu hari nanti,” katanya yang menaiki kapal Grande Blu.

Muhammad Hareez Adzrami, atau Haroqs tidak menyangka akan berpeluang menyertai misi kemanusiaan berkenaan memandangkan usianya yang masih muda.

Seorang lagi sukarelawan, Muhammad Hareez Adzrami, atau lebih dikenali sebagai Haroqs yang menaiki kapal Free Willy berkata beliau sama sekali tidak menyangka akan berpeluang menyertai misi kemanusiaan berkenaan memandangkan usianya yang masih muda.

Namun, katanya sokongan berterusan daripada generasi muda terhadap misi itu sepanjang melalui detik sukar pelayaran telah membuka matanya bahawa harapan untuk melihat Palestin yang merdeka masih tetap ada.

“Saya akan teruskan tanggungjawab besar ini, iaitu untuk menyedarkan lebih ramai orang mengenai perjuangan Palestin. Gunakanlah media sosial dengan baik, sertakan doa kita dan teruskan perjuangan ini. Palestin ialah negara yang sangat suci.

“Saya faham pada usia muda, kita semua ada cita-cita dan impian. Tipulah jika saya katakan saya tiada impian. Tetapi apabila saya ke Palestin dan melihat Gaza dari atas pesawat, saya sedar bahawa jika saya ada impian, mereka juga tentu ada,” katanya.
-FN

Tinggalkan komen anda