Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Usahawan Barat Daya Raih Manfaat Program Jelajah Jom Bantu Usahawan

By 1 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azimee Abdullah/Mohd Fakhruddin

TELUK BAHANG, 1 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 200 usahawan tempatan dari Daerah Barat Daya mendapat manfaat melalui penganjuran Program Jelajah Usahawan ‘Jom Bantu Usahawan’ yang menjadi platform penting bagi mendapatkan khidmat nasihat, peluang pembiayaan dan maklumat terkini berhubung sokongan kerajaan dalam memperkukuh perniagaan.

Jelajah Usahawan Daerah Barat Daya buka jalan buat usahawan tempatan untuk kembangkan perniagaan.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Teluk Bahang dengan kerjasama Komuniti MADANI Teluk Bahang itu turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan institusi kewangan bagi memudahkan golongan peniaga mendapatkan maklumat secara langsung, sekali gus mempercepatkan akses kepada peluang bantuan dan kemudahan yang tersedia.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol berkata inisiatif sebegini amat berkesan kerana memberi ruang kepada usahawan untuk berhubung secara terus dengan agensi berkaitan tanpa melalui proses yang rumit.

Peniaga dari Teluk Bahang Shafie Omar, mengambil peluang bertanyakan soalan semasa sesi soal jawab.

“Sokongan komuniti bersama agensi kerajaan mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk melangkah lebih jauh, saya percaya usaha berterusan seperti ini akan membantu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini,” katanya di sini kelmarin.

Selain sesi taklimat mengenai garis panduan perlesenan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, program turut diserikan dengan pameran dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi termasuk Bank Islam, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Wilayah serta beberapa agensi lain.

-RI

Tinggalkan komen anda