Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

400 Bekas Pengikut Ajaran Sesat Ikuti Program Taubat dan Pemantapan Akidah

By 29 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Mohd Fared Mohd Khaled (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 29 Nov (MalaysiaAktif) – Lebih 400 bekas pengikut pelbagai ajaran sesat dengan sebahagian besar daripada kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah disahkan menyertai Program Pemantapan Akidah dan Istitabah (Taubat) yang akan diadakan pada hujung bulan ini.

Mohd Fared (tengah) turut menyerahkan Sumbangan Dapur Kasih Johor Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada Pegawai Daerah Johor Bahru, Masni Wakiman bagi Daerah Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khaled, berkata program ini akan diadakan di salah sebuah masjid di daerah Kota Tinggi dan akan dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Penganjuran program ini membuktikan bahawa komitmen Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar usaha membanteras ajaran sesat diperhebatkan melalui pendekatan penguatkuasaan dan pemulihan akidah melalui pendekatan seperti ini secara menyeluruh.

“Program seperti ini memberikan peluang kedua kepada mereka yang sudah bertaubat dengan menyediakan bantuan bulanan termasuk kepada bekas pengikut GISBH bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu dengan mengikut cara dan pegangan ajaran agama islam,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gerobok Rezeki (Ar-Rizq), di sini kelmarin.

Mohd Fared, berkata inisiatif ini diwujudkan supaya asnaf dan keluarga yang sangat memerlukan bekalan makanan agar tidak terputus bagi memastikan setiap isi rumah di Johor ada mempunyai makanan setiap hari.

Antara bekalan barangan yang disediakan dalam Gerobok Ar-Rizq seperti beras 5 kilogram, tepung gandum, bihun, gula dan minyak masak bagi keperluan seharian keluarga.

“Melalui Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.5 bilion, MAINJ telah memperuntukkan sebanyak RM296 juta untuk memperkukuh agenda kebajikan rakyat iaitu program imarah masjid dan penyelenggaraan tanah perkuburan, elaun Imam dan Bilal, bantuan bencana kepada Pejabat Daerah dan Program Gerobok Ar-Rizq meliputi sebanyak 118 masjid dan surau di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Penasihat MAINJ Datuk Nooh Gadot, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Mohd Radzi Mohd Amin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nasri Md Ali.

-RI

Tinggalkan komen anda