
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 14 Nov (MalaysiaAktif) – Sebanyak 104 buah sekolah di Perlis bakal menerima manfaat daripada penyerahan dan pengedaran buku komik Adikarya Nusantara Hang Tuah Edisi Pelajar (untuk sekolah rendah) dan Edisi Khas (untuk sekolah menengah) terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Noor Amin (kanan) menyerahkan buku komik Adikarjaya Nusantara Hang Tuah Edisi Pelajar dan komik Wira Anti Rasuah kepada Rose Aza.
Simbolik penyerahan buku untuk edaran di pusat sumber sekolah di seluruh Perlis itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM Noor Amin Ahmad kepada Pengarah Pendidikan Negeri Perlis Rose Aza Che Ariffin dalam satu majlis ringkas di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, di sini semalam.
Pengerusi ITBM Noor Amin Ahmad berkata melalui dana yang disalurkan dalam Inisiatif Belanjawan 2024, pihaknya telah menerbitkan buku komik Adikarya Nusantara Hang Tuah dalam dua versi, iaitu Edisi Pelajar (set koleksi 10 judul komik) dan Edisi Khas sebagai bahan bacaan di peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Selain buku terbitan projek di bawah Inisiatif Belanjawan 2024, ITBM turut mengedarkan koleksi komik ‘Wira Anti Rasuah’ yang diterbitkan sebagai usaha menerapkan nilai integriti dalam diri masyarakat seawal peringkat usia muda, khususnya murid sekolah rendah di Malaysia,” katanya.

Penyerhan buku komik oleh pegawai Insitut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) kepada guru-guru.
Terdahulu, ITBM telah mengedarkan buku-buku terbitan di bawah Inisiatif Belanjawan 2024 itu kepada semua sekolah di seluruh negara.
Tambah Amin, penerbitan komik berkenaan merupakan inisiatif kerjasama strategik antara ITBM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan kesedaran dan menjadi medium pendidikan antirasuah dalam kalangan murid sekolah rendah dengan pendedahan amalan rasuah dan kesannya kepada masyarakat di seluruh Malaysia.
Selain itu, ia juga menggunakan pendekatan kekeluargaan dengan tanggungjawab mendidik dan mengamalkan nilai baik dan integriti bermula dari rumah menerusi peranan ibu bapa dalam kehidupan harian.
Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ITBM giat menggerakkan inisiatif dan menyokong setiap saranan kerajaan untuk memperkasakan bidang keilmuan dengan memperbanyakan bahan penerbitan yang disukai ramai.
-RI





