Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Projek Infrastruktur Tingkat Kemudahan Asas Penduduk Lundu

By 14 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto : Aishah Latip / Felix Harus (Sarawak)

LUNDU, 14 Nov (Malaysia Aktif) – Penduduk di beberapa kampung dalam daerah Lundu bakal menikmati kemudahan asas yang lebih baik menerusi pelaksanaan beberapa projek pembangunan di bawah penyeliaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.

Projek berimpak tinggi itu memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan asas luar bandar, termasuk pembinaan jambatan baharu serta menaik taraf sistem paip graviti bagi menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk.

Majlis penyerahan tapak projek untuk pembinaan jambatan konkrit Kampung Sebako 2 telah diadakan di Lundu, kelmarin dengan kehadiran Agensi Pelaksana Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

Simbolik penyerahan projek pembinaan jambatan konkrit di Kampung Sebako 2 semasa lawatan ke tapak jambatan bersama pihak berkenaan.

Projek yang menelan kos RM7 juta itu bermula pada 7 Nov lepas dan siap pada 6 Nov tahun hadapan.

Jambatan baharu berkenaan dijangka memudahkan penduduk ke kebun dan ladang selain memperkukuh hubungan antara kampung sekitar, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan projek menaik taraf sistem paip graviti Fasa 1 di Kampung Jantan, Lundu yang telah siap dengan peruntukan sebanyak RM450,000 yang memberi manfaat kepada penduduk melalui peningkatan bekalan air bersih.

Sementara itu, fasa kedua projek menaik taraf sistem paip graviti di Kampung Jantan akan bermula dengan tambahan peruntukan RM150,000 bagi memastikan semua rumah menerima bekalan air mencukupi.

Billy (tengah) menyaksikan penyerahan projek sistem paip graviti fasa 1 Kampung Jantan, Lundu yang telah siap.

Menurut Billy, pelaksanaan projek-projek ini mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan asas setara dengan kawasan bandar.

“Kemudahan seperti air, jalan dan jambatan adalah keperluan asas penting bagi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sebako 2, Normin Sujang berkata projek tersebut amat dinantikan kerana akan memudahkan pergerakan harian dan menjamin keselamatan terutama pada musim hujan apabila jambatan lama sukar dilalui.

“Kami amat menghargai keprihatinan kerajaan yang sentiasa mendengar suara rakyat luar bandar,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda