
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Hampir dua dekad, Big Bad Wolf (BBW) terus konsisten dan proaktif dalam setiap langkah untuk memenuhi aspirasinya sebagai salah satu platform memupuk minat membaca di seluruh dunia termasuk anak-anak di Sabah.
Selari dengan tekad meningkatkan tahap literasi dan penguasaan bahasa Inggeris di negeri ini, BBW membawa pendekatan yang progresif dengan membawa koleksi menarik melibatkan 2,011 judul baharu ke Pesta Buku Antarangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2025.
Pengurus Kanan Pemasaran BBW, Lettecia Ho berkata pihaknya menjunjung sepenuhnya prinsip bahan bacaan mampu milik bagi memudahkan setiap kanak-kanak mengakses pendidikan literasi tanpa sebarang halangan dari segi ekonomi.

Lettecia mempamerkan salah sebuah buku untuk bahan bacaan literasi Bahasa Inggeris kanak-kanak berhadapan dengan pusat perkhidmatan pelanggan di tapak jualan Big Bad Wolf (BBW).
“Untuk jelajah di Malaysia Timur kami membawa masuk kebanyakannya adalah bahan bacaan dalam bahasa Inggeris terutama di Sabah. Kehadiran BBW akan mendukung usaha serta visi pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Perpustakaan Negeri Sabah untuk meningkatkan tahap literasi anak-anak di sini khasnya dalam bahasa Inggeris.
“Prinsip BBW berasaskan kemampuan atau mampu milik. Di sini kami menjual buku dengan harga serendah RM3 dan visi kami sentiasa ke arah itu iaitu kita jadikan setiap buku yang kami bawa atau jual daripada penerbit bertauliah mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemuai di PBAKK 2025, di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, kunci utama untuk menarik minat masyarakat ke pesta buku adalah dengan mewujudkan suasanan yang interaktif serta memenuhi genre atau topik pembacaan pengunjung daripada pelbagai lapisan usia.

Pengunjung daripada pelbagai peringkat usia mula membanjiri tapak jualan BBW seawal jam 9 pagi bagi membeli bahan bacaan dengan Harga serendah RM3.
“Budaya membaca ini mestilah menyeronokkan, inilah kata kunci yang penting. Kami bawa sebanyak mungkin buku ke pesta ini supaya masyarakat umum akan datang untuk sekurang-kurangnya lihat sendiri bagaimana sebuah pesta buku itu dianjurkan. Di sini ada bahagian dengan topik yang khusus seperti Harry Potter, kucing dan anjing, pengangkutan.
“Kami sedang meneliti visi kerajaan negeri Sabah agar ianya boleh diselaraskan dengan agenda pendidikan tempatan dan visi untuk meningkatkan jumlah golongan pembaca bahasa Inggeris secara bersama,” katanya.

Selain buku, pengunjung juga boleh membeli pelekat magnet dan beberapa hasil seni yang dijual di tapak jualan BBW.
Dianjurkan secara bersama oleh UMS dan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS), BBW berjaya membawakan koleksi yang lebih menarik dengan 31,326 naskhah diterbitkan buat kali pertama akan berada di rak jualan sempena PBAKK 2025.
Koleksi terbesar yang pernah dibawa ke Kota Kinabalu ini turut merangkumi buku terlaris antarabangsa, buku terbitan edisi terhad, hinggalah kepada buku kanak-kanak, fiksyen dan bukan fiksyen yang penuh inspirasi untuk semua golongan pembaca di Sabah.
-RJ-





