Skip to main content
Berita TempatanSabah

MAPIM Perluas Akses Umum Kepada Karya Ilmiah IPTA Berkualiti Tinggi

By 14 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) terus memperkukuh jaringan penerbitan, promosi dan memperluas akses umum kepada karya ilmiah berkualiti tinggi universiti tempatan melalui penyertaan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2025 (PBAKK 2025).

Usaha mengangkat karya-karya ilmiah institut pengajian tinggi awam (IPTA) ini dijayakan dengan kerjasama strategik 11 ahli MAPIM antaranya penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketua Seksyen Pemasaran Penerbit USIM, Mohd Nadzir Abd Manaf berkata penyertaan pihaknya dalam PBAKK 2025 penting bagi memperkenalkan bahan bacaan ilmiah terbitan universiti kepada masyarakat Sabah sekali gus menyemarakkan budaya membaca di rantau Borneo.

Nadzri sedang menunjukkan antara buku-buku yang dipamerkan di reruai mereka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2025 (KKIBF 2025).

“Penerbit USIM membawa misi memperluas karya berteraskan integrasi ilmu naqli (wahyu) dan aqli (akal) yang menjadi identiti unik universiti. Selain itu, kami ingin mengukuhkan lagi jaringan promosi dan kolaborasi dengan rakan industri buku tempatan.

“Sempena pesta buku ini, pengunjung yang berkunjung ke reruai Penerbit USIM berpeluang menikmati Baucar Semarak Membaca bernilai RM10, selain tawaran diskaun istemewa untuk pelbagai koleksi buku dalam bidang agama, syariah, dakwah, kaunseling, kepimpinan, kesihatan, ekonomi Islam dan isu kontemporari Islam,” katanya ketika ditemui di reruai pameran semasa PBAKK 2025, di sini pada Rabu.

Sementara itu, wakil Penerbit UPSI, Muhammad Shahrul Mizan Mohamed Nizam berkata penyertaan mereka dalam PBAKK 2025 adalah untuk memperkenalkan buku-buku berasaskan penyelidikan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan pengurusan pendidikan.

Shahrul berkongsi mengenai buku terbaharu terbitan UPSI bertajuk “Keselamatan Siber untuk Kanak-kanak”.

“Antara karya terbaharu terbitan UPSI yang diketengahkan ialah buku “Keselamatan Siber untuk Kanak-kanak” yang berfungsi sebagai panduan kepada ibu bapa dalam memantau keselamatan anak-anak semasa menggunakan internet. Buku ini diterbitkan pada tahun 2025 dan dijangka mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

“Kami ingin membawa mesej bahawa ilmu milik semua. Semoga kehadiran penerbit universiti di Sabah membuka lebih banyak ruang kolaborasi dan menjadikan negeri ini sebahagian penting dalam jaringan pembaca dan ilmuwan kami,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda