Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Polis Tahan Dua Lelaki Tempatan Menyamar Jadi Polis

By 3 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Ammar Hasif (Perak)

IPOH, 3 Nov (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis di hadapan Restoran Tong Seng Street, Taman Ipoh Timur Baru, Bercham di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian berkenaan tular di media sosial Facebook Viral Perak yang memaparkan suspek berpakaian menyerupai anggota polis trafik serta menahan seorang penunggang motosikal.

“Siasatan mendapati suspek telah menahan mangsa dan mendakwanya melakukan kesalahan ubah suai motosikal sebelum meminta wang tunai RM300 sebagai sogokan bagi mengelak saman.

“Mangsa yang curiga telah menghubungi rakannya. Setelah menerima laporan berhubung kejadian itu, polis telah menahan suspek bersama beberapa barangan yang digunakan untuk tujuan penyamaran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Antara yang dirampas ialah ves pantul cahaya bertulis ‘Bike Rescue’, topi dan kasut berlogo PDRM, dua buah motosikal Yamaha Y15ZR, walkie talkie serta beberapa pelekat logo rasmi PDRM.

Suspek katanya direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Abang Zainal berkata PDRM menasihatkan agar orang awam tidak mudah terpedaya dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis tanpa menunjukkan kad kuasa yang sah.

“Orang awam boleh segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berhadapan dengan situasi yang mencurigakan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda