Skip to main content
Berita TempatanSabah

Minuman Soda Buah Bambangan, Usaha Anak Sabah Atasi Masalah Lambakan Buah Tempatan

By 5 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Penampang)

PENAMPANG, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Daripada isu lambakan buah tempatan kepada produk inovasi yang menyegarkan, Dimna soda muncul sebagai jenama minuman berkarbonat di Sabah berasaskan buah bambangan.

Pengasas Dimna soda Izhan Nasriq, 38, berkata produk hiliran tersebut dihasilkan menggunakan buah bambangan yang telah diasingkan kerana tidak mencapai piawaian pasaran semasa proses pengredan.

Izhan sedang menambah stok jualan bagi memastikan bekalan produk mencukupi untuk pelanggan.

“Tahun lepas kami lihat banyak buah bambangan yang rosak dan tidak dapat dijual, jadi kami ambil sebelum ia buruk dan cuba menghasilkan satu produk hiliran daripadanya. Dari situlah lahirnya idea untuk menghasilkan minuman berkarbonat berasaskan bambangan iaitu Bambangan Soda.

“Proses penghasilan Dimna soda bermula dengan pengambilan buah secara terus daripada komuniti. Buah-buah yang hampir rosak atau tidak memenuhi piawaian pasaran akan diproses sendiri oleh pasukan kami dan setiap peringkat pengeluaran boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari selepas memperoleh bekalan buah,” jelasnya ketika ditemui semasa Pameran Usahawan Hari Terbuka Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di sini, semalam.

Tambah anak jati Sandakan itu lagi, pihaknya mempelbagaikan teknik promosi dan saluran pemasaran bagi mencapai pelanggan yang lebih luas terutama di lokasi tumpuan pelancong dengan tawaran harga berpatutan.

“Dimna soda menawarkan beberapa perisa termasuk Bambangan dengan harga jualan RM8 sebotol sebagai edisi terhad bermusim, selain perisa lain seperti Kicai, Papaya dan Tembikai yang dijual antara RM6 hingga RM7.

Produk ini kini boleh didapati di beberapa kedai runcit sekitar Penampang serta di Anooh Café, Kundasang iaitu salah satu lokasi pelancongan utama di Sabah.

Label produk yang direka khas bagi meningkatkan kesedaran (awareness) masyarakat terhadap jenama Dimna Soda.

“Kami baru beroperasi selama setahun dan masih banyak kerja perlu dilakukan untuk memastikan orang ramai tahu tentang kewujudan produk ini dan kami berharap agar Dimna soda bukan sahaja diterima di sekitar Penampang, tetapi juga di seluruh Sabah, seterusnya ke peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.

Dimna soda katanya turut bekerjasama dengan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Kota Kinabalu di Kampung Gana, Papar.

Setiap label yang dicetak pada botol produk minuman tersebut akan memaparkan mesej kesedaran tentang penjagaan serta kepentingan untuk orang awam menjadi keluarga angkat kepada haiwan yang terbiar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda