
Laporan/foto: Aini Aziz/Nurul Ilyani
HULU TERENGGANU, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Semangat juang dan kreativiti luar biasa terserlah apabila kumpulan pelajar di bawah seliaan pensyarah Politeknik Hulu Terengganu (PHT) muncul juara pertandingan Students Research, Innovation & Exhibition Competition (STURIEX) Sesi I:2025/2026 menerusi projek inovasi bertajuk ‘The Untold Heroes Collection: Honoring the Legacy of Bravery & Wisdom‘, di sini kelmarin.

Pasukan The Untold Heroes Collection diumumkan sebagai Juara Keseluruhan STURIEX 2025/2026.
Projek berteraskan warisan itu turut membolot tiga lagi anugerah utama iaitu Tempat Pertama Program, Pembentang Terbaik Program dan Pameran Terbaik Program.
STURIEX menghimpunkan 42 kumpulan pelajar daripada tiga program utama Diploma Pengurusan Pelancongan, Diploma Pengurusan Resort dan Diploma Pelancongan Rekreasi dirasmikan oleh Pengarah Politeknik Hulu Terengganu Ishamuddin Ishak.
Menurut penyelia projek Nurul Ilyani Abdullah, kejayaan berkenaan tidak datang dengan mudah.
“Awalnya mereka agak perlahan (progres) dan kurang yakin, namun apabila semakin hampir dengan pertandingan, semangat mereka meningkat luar biasa. Saya lihat sendiri bagaimana usaha gigih dan keikhlasan belajar akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Menurutnya, The Untold Heroes Collection dihasilkan bagi mengangkat kisah dua tokoh pahlawan Terengganu yang semakin dilupakan, Tok Ku Paloh dan Haji Abdul Rahman Limbong.
Inspirasi projek berkenaan tercetus selepas lawatan ke Muzium Negeri Terengganu yang mendapati bahan interpretasi digital interaktif mengenai tokoh-tokoh negeri masih terhad.

Suasana meriah di Dewan Serbaguna Politeknik Hulu Terengganu ketika berlangsungnya Students Research, Innovation & Exhibition Competition (STURIEX) Sesi I:2025/2026 yang menghimpunkan 42 kumpulan pelajar daripada tiga program utama.
“Produk inovasi tersebut menampilkan elemen interaktif bagi memperkayakan pengalaman pelawat, sekaligus memastikan perjuangan tokoh tempatan terus dihayati oleh generasi masa kini,” katanya.
Pensyarah itu turut berseloroh bahawa sikap tegas dan tegurannya sepanjang semester mungkin antara pemangkin kejayaan kumpulan ini.
“Saya pernah beritahu mereka, kalau kamu menang, saya tak dapat apa-apa tapi kamu akan rasa puas kerana itu hasil usaha sendiri. Dan ya, mereka buktikan dengan tindakan,” katanya.
Projek Ar-Rival Portal dan Eco Maze & Interpretive Orienteering Trail at Bukit Durian Taruh turut diumumkan sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga keseluruhan.
-RI





