
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Kota Belud)
KOTA KINABALU, 6 Nov (MalaysiaAktif) – Pengenalan Modul Astronomi bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Ketidakupayaan Penglihatan memastikan golongan itu tidak tercicir dalam arus pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matemetik (STEM).

Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (pertama dari kanan) meluangkan masa bersama anak-anak PPKI dalam sesi pembuatan roket sains menggunakan bahan kitar semula.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MMOSTI) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata kerjasama dengan Planeterium Negara dan rakan strategik itu memberi penegasan berkait hasrat MOSTI yang mahu ilmu sains angkasa dapat dipelajari dan difahami setiap individu termasuk anak-anak istimewa.
“Saya amat menghargai kerjasama erat antara MOSTI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Hibiscus Petroleum Berhad, serta semua rakan strategik dalam menjayakan program ini.
“Usaha ini bukan sekadar program pendidikan, tetapi manifestasi kepada semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kemanusiaan dan keadilan dalam pembangunan masyarakat berilmu,” katanya ketika menyampaikan ucapan inspirasi sempena Program Astronomi Inklusif @Sabah 2025 di U-Science UMS, di sini pada Khamis.
Pengenalan modul berkenaan juga menjadi bukti komitmen MOSTI dalam memperkasa pelbagai inisiatif serta pedagogi pendidikan bagi meningkatkan kemahiran anak-anak murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam ilmu sains, teknologi dan astronomi.

Pelajar PPKI SMK Inanam sedang menggunakan teknologi VR untuk belajar berkenaan planet dan ilmu angkasa dengan bantuan Planetarium Negara.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesan kepada pelajar PPKI yang hadir agar tidak menganggap kekurangan dihadapi mereka sebagai halangan, sebaliknya menjadikannya sebagai punca kekuatan untuk terus belajar, meneroka dan mencipta.
“Ilmu astronomi mengajar kita bahawa walau sekecil mana bintang kelihatan di langit, ia tetap memberi cahaya. Begitu juga dengan anda, cahaya semangat dan ketabahan anda menerangi dunia sains kita.
“Program Astronomi Inklusif @Sabah 2025, satu inisiatif bermakna yang bukan sekadar memperkasa bidang sains angkasa, tetapi juga memperkukuh nilai kemanusiaan dan inklusiviti dalam pendidikan sains negara,” ujarnya.
Program Astronomi Inklusif @Sabah 2025 menerima penyertaan 300 peserta terdiri daripada warga pendidik dan murid-murid PPKI sekolah rendah serta sekolah menengah.
Peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman meneroka ilmu angkasa menerusi pameran Mini Planetarium, pameran dunia sains di U-Science, gambaran secara virtual mengenai planet serta ruang aksa menerusi Planet VR, dan aktiviti pencerapan matahari.
-RJ-






