
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)/UMPSA
PEKAN, 20 Nov (MalaysiaAktif) – Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Mejar Dr. Imaduddin Abidin mengharumkan nama negara apabila menerima Certificate of Gratitude daripada Presiden International TRIZ Association (MATRIZ) sempena Persidangan Antarabangsa TRIZFest 2025 di Yogyakarta, Indonesia.

Pembentangan TRIZ oleh Imaduddin.
Beliau yang memegang tiga sijil profesional Teori Penyelesaian Masalah Secara Inventif (TRIZ) antarabangsa dan tempatan memainkan peranan besar mempelopori pengamalan TRIZ di UMPSA melalui latihan, bimbingan dan program pembangunan kompetensi.
“Semangat “Now Everyone Can Innovate” menjadi asas kepada kursus TRIZ yang ditawarkan, kerana ia bukan hanya mengajar kaedah, tetapi menyediakan penyelesaian terarah menggunakan alat khusus,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Sejak 2018, beliau telah melatih lebih 10,000 pelajar bagi pensijilan TRIZ Tahap 1 selain membina kumpulan nukleus TRIZ melibatkan enam pensyarah serta menganjurkan tiga kali Pameran Inovasi UMPSA TRIZ yang berjaya menarik penyertaan ribuan mahasiswa dan mempamerkan ratusan prototaip inovasi.
Ujarnya lagi, TRIZ merupakan pendekatan penyelesaian masalah secara sistematik yang relevan kepada penyelidik, tenaga pengajar dan industri dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.
Pengiktirafan itu menyerlahkan kepakaran beliau dalam pendekatan TRIZ serta sumbangannya memperluas metodologi berteraskan inovasi tersebut di Malaysia.
-RI





