
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
PASIR GUDANG, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Hubungan antara Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan media terus diperkukuh menerusi Program Santai Mesra PIS Bersama Media 2025 edisi ketiga, semalam.
Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan Ulaimi Yahya berkata program itu juga bertujuan mengiktiraf sokongan media terhadap pelbagai inisiatif dan program dijalankan PIS.

Aktiviti dekorasi kek memberi pengalaman baharu kepada peserta dan berfungsi sebagai terapi minda.
“Kita tahu bahawa pasukan media Johor sentiasa menyokong program yang dilaksanakan oleh Politeknik Ibrahim Sultan.
“Selaku Pengarah, saya amat teruja dengan komitmen yang diberikan oleh pihak media, khususnya dalam membantu mempromosikan program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET ) dan aktiviti pembangunan pelajar di PIS,” katanya ketika ditemui, di sini.
Program anjuran Unit Komunikasi Korporat serta Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) turut melibatkan pengamal media dalam Kursus Dekorasi Kek kendalian pensyarah serta sembilan pelajar Sijil Khas Operasi Katering di bawah seliaan JPH.
Ketua Program Diploma Seni Kulinari Nor Marlina Othman berkata aktiviti dekorasi kek cawan itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada peserta, malah berfungsi sebagai terapi minda selepas penat bekerja.
“Peserta berpeluang mengolah idea secara santai dalam mendekorasi kek bagi menambah nilai, memperindah rupa serta meningkatkan kualiti dan ketahanan produk,” katanya.

Aktiviti mendekorasi kek cawan oleh pengamal media mendapat tunjuk ajar dan bantuan daripada pensyarah dan pelajar-pelajar Sijil Khas Operasi Katering PIS.
Sementara itu, Ketua Bahagian Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor Zahrinul-Aini Sumery menyifatkan program tersebut sebagai wadah bermakna dalam mempererat hubungan antara pihak media dan PIS.
“Ia satu pengalaman yang cukup bermakna dan sukar dilupakan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Mohd Firdaus Mohd Noor dan Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti Abdul Kharim Abdul Hamid.
-RI





