
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
DUNGUN, 29 Nov (MalaysiaAktif) – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengaktifkan Skuad Ihsan MADANI KETENGAH sebagai persediaan rapi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa risiko banjir.

Pengurus Besar KETENGAH menyatakan kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan, NGO dan komuniti setempat merupakan kunci utama keberkesanan pengurusan bencana.
Majlis peluncuran skuad tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, di Bilik Gerakan Banjir, Medan Info Desa, Bandar Al Muktafi Billah Shah, kelmarin.
Pelancaran itu menandakan permulaan operasi bantuan yang lebih terarah, tersusun dan holistik untuk memastikan komuniti terlibat mendapat bantuan segera apabila bencana melanda.
Menurut YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri, kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat merupakan kunci utama keberkesanan pengurusan bencana.
“Skuad ini turut berperanan dalam menyelamat dan memindahkan mangsa ke kawasan yang lebih selamat serta memberi sokongan pasca banjir bagi pemulihan komuniti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan padu daripada semua pihak amat penting bagi memastikan setiap keperluan mangsa dapat dipenuhi secara cepat, sistematik dan berkesan.
Seramai 112 sukarelawan terdiri daripada Skuad Ihsan MADANI KETENGAH dan Civil Defence Auxiliary (CDA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

Skuad Ihsan MADANI pasukan bantuan kecemasan yang terlatih dan berada dalam mod kesiagaan penuh dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
Mereka bakal digerakkan sepanjang tempoh MTL untuk melaksanakan misi kemanusiaan termasuk mengagihkan bantuan makanan asas, memberi perlindungan dan membantu pemindahan mangsa banjir di kawasan panas.
Majlis peluncuran turut dihadiri pegawai dari APM, pemimpin komuniti, pertubuhan belia serta ahli bomba sukarela. Kehadiran pelbagai sektor ini menggambarkan semangat solidariti dan kesiapsiagaan kolektif dalam memastikan operasi bantuan bencana dapat digerakkan dengan lebih menyeluruh.
Dengan pengaktifan Skuad Ihsan MADANI KETENGAH, penduduk khususnya di kawasan berisiko kini dapat menarik nafas lega apabila pasukan bantuan kecemasan yang terlatih dan bersedia telah berada dalam mod kesiagaan penuh dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
-RI





